Monday, 7 November 2016

KEDAULATAN SULTAN KETUANAN MELAYU




Image result for tujuh wasiat raja melayu

Berikut merupakan butiran 7 wasiat tersebut :

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.”
7 perkara itu adalah:

Pertama: Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA);

Kedua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Ketiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Keempat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

Kelima: Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan;

Keenam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

Ketujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Dan bagi memastikan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu ini dipelihara dan dilaksanakan, maka peruntukkan mengenainya telah digubal didalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 1; Perkara 89; Perkara 32; Perkara 3; Perkara 152; Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972; dan Perkara 153 dan lain-lain. Peruntukkan-peruntukkan ini tidak boleh sama-sekali dipinda, diubah, dibatalkan atau dimansuhkan kecuali dengan izin, persetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan tiap-tiap Baginda Tuanku Sultan yang memerintah yang bersidang sepenuhnya.


Image result for tujuh wasiat raja melayu

7 Wasiat yang diterjemahkan dalam perlembagaan persekutuan adalah :
  1. Malaysia –Perkara 1 (Nama, Negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan)
    –> Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
  2. Tanah Simpanan Melayu – Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)
    –> Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.
  3. Rejimen Askar Melayu – Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972
    –> Seksyen tersebut menyatakan “Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja”. Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua. Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.
  4. Raja-Raja Melayu – Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan dan Permaisurinya)
    –> Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun.
  5. ISLAM – Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan)
    –> Islam ialah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
  6. Bahasa Melayu – Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)
    –> Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.
  7. Kedudukan Istimewa Orang Melayu Dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain – Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit dan Sebagainya untuk Orang Melayu)
    –> Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

Walau bagaimanapun seiring masa yang berlalu, pelbagai fahaman yang bertentangan dengan agama Islam kian meresap di bumi Islam ini. Hal ini mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. Justeru, pentingnya untuk setiap rakyat Malaysia untuk menghayati 7 wasiat ini agar semua rakyat Malaysia walaupun berlainan agama dan bangsa, mampu hidup dengan harmoni, aman dan tenteram di negara Malaysia yang bertuah ini tanpa berlaku rusuhan kaum [8] yang pernah menjadi sejarah yang mendukacitakan bagi rakyat Malaysia. Justeru, janganlah sesekali kita melupakan sejarah kerana dari sejarahlah kita beroleh banyak pengajaran untuk menghadapi masa kini dan akan datang.

Thursday, 13 October 2016

AMALAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI MEMPENGARUHI KEBERKESANAN SEKOLAH



Mohd Othman Yussoff
Nor Asiah Ibrahim Shah

Persoalan mengapa amalan kepimpinan transformasi diutarakan dalam perbincangan ini dengan keberkesanan sekolah tidak dapat dielakkan memandangkan pengetua adalah pengurus organisasi  yang amat berkait dengan teori kepimpinan.  Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan transformasi sistem pendidikan melalui pelaksanaan  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT atau HOTS) di kalangan warga sekolah (guru-guru dan pelajar) menjadikan isu pendidikan semakin kompleks dalam era dunia tanpa sempadan. Semenjak 2010 lagi,  pelbagai transformasi sistem pendidikan telah diperkenalkan demi meningkat kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Menurut Alimuddin (2010), transformasi ini bukan sahaja melibatkan perubahan segi kurikulum, sistem peperiksaan tetapi perubahan dalam sistem penilaian yang tidak lagi berdasarkan peperiksaan  semata-mata. Antaranya termasuklah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), LINUS, Satu Murid Satu Sukan, dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Sehubungan itu, pengetua sekolah perlu bersedia untuk menyerap segala perubahan yang telah dirancang dan menyampaikan kembali kepada guru-guru dengan berkesan. Pengetua perlu menggunakan kebijaksanaan kepemimpinan mereka untuk mengelakkan tekanan dan bebanan kerja ke atas guru serta memberikan mereka kepuasan kerja.  Lanjutan itu cabaran penstrukturan semula sekolah dan persekitaran yang tidak menentu dalam bidang pendidikan menyebabkan berlakunya “letusan kedinamikan kepimpinan” iaitu peralihan pendekatan teori kepimpinan konvensional kepada penggunaan teori kepimpinan komtemporari (semasa). Menurut Leithwood dan Jantzi, 1999, mereka mendapati berlakuknya perubahan kepimpinan sekolah daripada kepemimpinan pengajaran kepada kepemimpinan transformasi seperti yang ditunjukkan melalui Jadual 1.3.

  Jadual 1.3 :  Model Kepimpinan Transformasi








 
Sumber : Diubahsuai berdasarkan Modul Pembangunan Diri, UKM,  2011

Beberapa kajian literatur,  menunjukkan bahawa amalan kepimpinan transformasi telah membawa perubahan positif kepada kerberkesanan sekolah. Abdul Shukor (2004), menyatakan pengurusan dan kepimpinan pengetua adalah faktor utama yang akan menentukan keberkesanan sekolah serta akan menentukan jatuh bangun sekolah tersebut.  Abdul Ghani (2005), menegaskan bahawa pengamalan gaya dan amalan kepemimpinan transformasi oleh pengetua berupaya meningkatkan prestasi guru (perlakuan warga organisasi) dan sikap guru (peningkatan komitmen guru).  Manakala Koh (2008), menyatakan bahawa dengan kepemimpinan transformasi, pengetua sekolah yang cemerlang akan membangunkan minda guru-guru melalui keupayaan kepimpinan guru-guru iaitu merujuk kepada penglibatan meluas dan berketrampilan dalam  tugas-tugas memimpin.

Kajian Jazmi (2009), juga mencadangkan agar pengetua mengamalkan gaya kepimpinan transformasi. Hal ini menurut beliau adalah berpunca dengan sistem pendidikan sekarang yang semakin kompleks dan rencam  di mana berlakunya pertambahan beban tugas guru yang menimbulkan tekanan kerja. Guru dikatakan terikat dengan  pelbagai tugas lain di samping tugas hakiki mereka. Selain itu, usaha menambah baik kecekapan peringkat mikro organisasi pendidikan dan sekolah telah menyebabkan tekanan terhadap organisasi sekolah supaya meningkatkan prestasi dan pencapaian, dan ianya menyebabkan beban tugas kepimpinan peringkat sekolah semakin bertambah.

Dalam dunia globalisasi, ciri-ciri dan amalan kepimpinan tradisional dan konservatif yang berorientasikan “taklid buta” antara pengikut (pekerja/guru) dengan ketua mereka (pemimpin/pengetua) sudah lapuk ditelan zaman dan tidak sesuai untuk dipratikkan terutamanya organisasi pendidikan. Hallinger, (2003), menjelaskan pada masa kini, kepemimpinan tidak lagi memberi fokus kepada hanya seorang pengetua sebagai pemimpin.  Pengetua perlu memahami bahawa guru-guru juga telah memainkan peranan penting menggerakkan perubahan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar di sekolah. Perkongsian kuasa kepemimpinan (empowerment) antara pengetua dan guru mula membanjiri konsep kepimpinan dalam pendidikan. Tanggungjawab memimpin mulai berkembang dari seorang pengetua mengalir ke bawah kepada guru yang diistilahkan sebagai “distributed leadership”, “teacher leadership”, dan “shared leadership”.

Pengamalan kepimpinan transformasi juga amat penting kerana pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru, staf dan pelajar yang merupakan elemen-elemen yang memerlukan perhubungan kemanusiaan yang lebih tinggi. Ini bertepatan dengan pandangan Parkinson dalam bukunya “A Little Touch” menjelaskan manusia  (contohnya guru-guru, pelajar, dan staf) mempunyai hati dan perasaan dan bukannya mesin atau robot yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Kajian Woo (2007), mendapati pengetua yang berpengaruh, kemas kini, berbudi bahasa, mesra, bersabar (tret karisma), selalu memberi penghargaan terhadap kerja yang baik , percayakan kemampuan guru dan sentiasa ada semasa diperlukan,  memberikan kepuasan kerja yang tinggi kepada guru-guru yang sudah tentu menjamin peningkatan prestasi dan keberkesanan sekolah.

4.0  KESIMPULAN

Persoalan keberkesanan sekolah  dan hubungannya dengan kepimpinan merupakan suatu polemik yang amat mencabar dengan pelbagai isu dan cabaran.  Pelbagai saranan dan lontaran pemikiran diperdebatkan dalam seminar, bengkel, forum dan media elektronik sehingga menimbulkan percanggahan model, teori, mazhab dan aliran pemikiran pendidikan yang merentasi ruang sempadan yang tiada kesudahan penyelesaiannya. Walaupun secara idealisnya kita mengatakan terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah seperti kepimpinan pengetua yang berkesan, pengurusan dan pentadbiran sekolah yang baik, peranan penolong-penolong kanan dan sebagainya, tetapi mengapa secara realitinya pelbagai pihak suka menggunakan keputusan peperiksaan (pencapaian akademik) untuk mengukur keberkesanan sekolah? . Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan “Sekolah Harapan Negara”, “Sekolah Wawasan”, “Sekolah Bestari”, “Sekolah Integrasi” dan bermacam-macam jenama sekolah di seluruh negara tetap tidak terlepas daripada penilaian akademik dan peperiksaan sebagai kayu pengukur.

Oleh sebab itu, bagi saya inilah cabaran dan isu yang ditanggani bersama antara “idealis” dan “realitinya” kita sebagai pemimpin khususnya pengetua dan guru besar di sekolah.  Sebenarnya organisasi pendidikan KPM, JPN, PPD  dan  kepimpinan sekolah iaitu pengetua atau guru besar mulai sekarang perlulah mengubah pragdima bahawa keberkesanan sesebuah sekolah itu bukan sahaja berpaksikan kepada pencapaian akademik, tetapi berteraskan konsep ketuhanan, menerapkan nilai murni,  melahirkan insan yang seimbang (harmonis) sama ada di dunia dan di akhirat, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan ketauhidan Allah S.W.T sebagai Maha Pencipta.

  
RUJUKAN

Abdul Ghani Kanesan  Abdullah. (2005). Kesan Amalan Penupayaan Dalam Pengajaran Pembelajaran Terhadap Beban dan Persekitaran Kerja Guru. Educational Management and Leadership Journal, IAB. Vol. 15, 19 – 30.

Abdul Ghani Kanesan Abdullah &  K. Anandan. (2009). Pengaruh Kepemimpinan Transformasi Sekolah dan Efikasi Kolektif Guru Terhadap Komitmen Kualiti Pengajaran. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke 16. IAB.

Abdul Shukor Abdullah. (2004). Ucap Utama : Kepimpinan Unggul Tonggak Bidang Pendidikan Cemerlang. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke 12. IAB.

Al. Ramaiah. (2009). Kepimpinan Pendidikan. Puchong : IBS Sdn. Bhd.

Alimuddin Mohd Dom.  (2010). Transformasi Pendidikan Bermula. http://perkhidmatan pelajaran blogspot.com.

Djam’an Satori  (2006). Pembeberdayaan Manajemen Berbasis Sekolah. Lembang : Seminar Tenaga Kependidikan.

Edmonds, R.  (1979). Effective School for The Urban Poor. Educational Leadership 40(3),  hlm. 4-1

Geltner. (1981). The Leader Effectiveness. Washington : Society Publications.  

Hallinger, P. (2003).  Leading Educational Change : Reflections On The Practice Of Instructional and Transformational Leadership. Cambridge Journal of Education. 33 (3), 329 – 351.

Hord, S. M. (1986). A synthesis of research on organizational collaboration. Educational Leadership. 43(5), 22–26
Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussein Mahmood. (2005). Kepemimpinan Profesionalisme : Satu Utopia? Jurnal Pemimpin, 5 : 39 – 51.

Jaap Scheerens. (1992). Improving School Effectiveness. Paris : United Nation Educational.

Jazmi Md. Isa. (2009). Gaya Kepemimpinan Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru : Kajian Perbandingan SMKA dan SMK. Tesis Sarjana. Universiti Utara Malaysia.

Kamus Dewan. (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Lee Lee. (2008). Kepimpinan Transformasi Terhadap Komitmen Guru Di beberapa Buah Sekolah di Daerah Petaling. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.

Leithwood K.,  & Jantzi D. (1999). Transformational School Leadership Effects : A Replication. School Effetiveness and School Improvement. 10 (4), 451 – 479.

Modul Pembangunan Diri (2011).  Bangi.  UKM Press.

Muijs D., & Harris,  A. (2007). Teacher Leadership In Action : Three Case Studies Contrasting School. Educational Management Administration  & Leadership. 35(1) : 111 – 134.

Olen @ Ulin Tabor. (1998). Gaya Kepimpinan Guru Besar Dengan Keberkesanan Sekolah : Kajian di Daerah Saratok, Sarawak. Tesis Sarjana. Universiti Malaysia Sarawak.

Rahimah Hj. Ahmad. (2005). Kepengetuaan dan Kepemimpinan Sekolah : Pembangunan dan Penambahbaikan Pengajaran. Jurnal Pemimpin, 5. 1 – 10.

Rusidi Mustapha. (2013). Penambahbaikan dan Keberkesanan Sekolah. Blogspot.com. 17 April 2013.

Sergiovanni, T.J. (2001). The Principalship of Reflektive Practice Perpectif.
Boston : Allyn and Bacon.

Stephen P. Robbin, (1993). Organizational Behavior. New Jersey : Prentice Hall.
Stoll, L., & Fink, D. (1996). Changing our schools: Linking School effectiveness and school improvement. Buckingham: Open University Press.


Terry, G.R.( 1960). Principles of Management.  Illinois : Homewood.
Woo Yoke Ling. (2007). Kepuasan Kerja Guru-guru Aliran Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Sekolah-sekolah Menengah Teknik di Johor. Tesis Sarjana. Univerisiti Teknologi Malaysia.

HUBUNGAN KEBERKESANAN SEKOLAH DAN KEPIMPINAN




Mohd Othman yussoff
Nor Asiah Ibrahim Shah


Isu kepimpinan dalam bidang pendidikan menjadi semakin kompleks dalam era dunia tanpa sempadan. Pemimpin-pemimpin sekolah perlu sentiasa proaktif serta bersedia melengkapkan diri dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi selaras dengan perkembangan dunia pendidikan yang semakin mencabar. Kepemimpinan sekolah sentiasa berhadapan dengan tekanan yang berterusan dalam meningkatkan standard dan penambahbaikan sekolah. Hal ini kerana sekolah merupakan agen yang penting dalam pembinaan generasi masa depan (Rahimah, 2005). Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada corak kepimpinan yang diamalkan di sesebuah sekolah (Hussein, 2005). Kepemimpinan yang berkesan adalah asas kepada penambahbaikan sekolah yang berterusan (Muijs & Harris, 2007, Abdul Ghani & Anandan, 2009). Ringkasnya kepimpinan sekolah masa kini perlu berubah atau diperbaharui untuk memastikan sekolah mengalami perubahan yang berterusan.

Kepimpinan Pengetua/Guru Besar dengan Keberkesanan Sekolah

Dalam usaha mengejar dan mencapai kecemerlangan pendidikan, sama ada di negara kita, mahupun di negara-negara maju yang lain, kepimpinan pengetua atau guru besar sering dilihat sebagai fokus utama. Ini bererti, pengetua atau guru besar dilihat sebagai punca masalah atau pihak yang menimbulkan masalah atau sebagai penyelesai masalah dalam pelaksanaan program pendidikan. Di Amerika Syarikat misalnya, banyak cadangan telah dikemukakan melalui pelbagai laporan utama seperti A Nation At Risk (National Commission on Excellence in Education, 1983; Action For Excellence (Task Force on Excellence for Economic Growth, 1983; Better Education For Michigan Citizen : A Blueprint For Action (Michigan State Board of Education, 1984; Leader For America’s Schools (The National Commission on Excellence in Educational Administration, 1987), menegaskan betapa pentingnya kepimpinan pengetua atau guru besar di sekolah.
Edmonds (1979), menyatakan kejayaan sesebuah sekolah terletak di tangan pengetua atau guru besar. Pengetua atau guru besar boleh mengubah sekolah yang tidak berkesan kepada sekolah yang berkesan. Hussein Mahmood (1993) menyatakan bahawa rata-rata kajian yang berkaitan membuat kesimpulan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sekolah dengan sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetua atau guru besar. Kepimpinan pengetua atau guru besar yang dinamik dan bersungguh-sungguh telah dikenalpasti sebagai satu pembolehubah yang dikatakan membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah.

Sebenarnya terdapat lima peranan pengetua atau guru besar yang boleh dikaitkan melalui kerangka konsep berikut (Jadual 1.2 ):


a.     Pengetua Sebagai Ahli Falsafah Pendidikan
Guru menganggap pengetua sebagai orang penting dalam kehidupan mereka di sekolah. Sebagai pemimpin, pengetua menyampaikan dan menjelaskan apa yang dipercayai tentang visi, misi, matlamat serta tujuan tugasan/tanggungjawab mereka dalam memenuhi kehendak organisasi atau sekolah.  Guru pula cuba memahami dan berkongsi serta menghayati bersama-sama apa yang dipercayai atau disampaikan oleh pengetuanya, serta turut memberi sokongan. Implikasinya kerja-kerja di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi erti melalui perpaduan (kerja sepasukan) yang wujud di kalangan guru.  

Menurut Hussien (1993), sebagai pengetua, mereka haruslah mempunyai tanggungjawab dalam hal-hal berkaitan sekolah iaitu:

(a)  berusaha bagi mencapai dasar pendidikan di peringkat sekolah
(b)  mengurus dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan pelajar, guru dan staf sokongan sekolah
(c)  menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan
(d)  mewujudkan dan memajukan iklim dan budaya sekolah

b.    Pengetua Sebagai Model Pendidikan

Guru menganggap pengetua sebagai model pendidikan yang mengubah tingkahlaku guru dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Oleh sebab itu dalam banyak kajian pengetua dilabel dengan pelbagai gelaran, antaranya dikatakan “pemimpin teknikal”, “jurutera manusia”, “pemimpin simbolik”, “clinical practioner” dan “pemimpin budaya” (Hussien, 1993, dan Rushida Mustapha, 2013). Pengetua harus mampu menjadi pemimpin yang efisyen dan efektif yang mencerminkan ketrampilan yang menarik, kemampuan mengurus serta sifat dan jati diri sebagai pengetua. Pengetua sekolah tidak hanya mengelola sekolah secara statik, tetapi semestinya mengerakkan semua potensi yang berhubungan langsung dengan kepentingan pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Kegagalan pengetua menciptakan kondisi pengajaran dan pembelajaran yang efisyen dan efektif akan memberikan implikasi pada mutu prestasi dan masa depan anak didiknya.

c.     Pengetua Sebagai Penyokong Pendidikan

Guru menganggap pengetua sebagai sumber untuk mendapatkan sokongan. Mereka telah mengalami peristiwa bahawa sokongan pengetua sejak mereka mula bertugas memberi kesan yang mendalam dalam bidang profesionalisme. Sebagai pengetua mereka seharusnya memahami guru merupakan aset sumber manusia yang penting, pengetahuan tentang pengurusan kemanusiaan  amat penting, supaya tidak wujud tekanan dan kekangan  keterlaluan antara guru-guru di sekolah. Peranan ini cukup penting kerana ia akan dapat meningkatkan prestasi guru seterusnya meningkatkan keberkesan organisasi sekolah. Sebaliknya corak kepimpinan pengetua yang tidak sesuai (kurang menyokong) akan mewujudkan hubungan kurang baik dengan guru, membawa tekanan berlebihan yang boleh menjejaskan keberkesanan organisasi.

d.     Pengetua Sebagai  Rakan Sependidikan

Guru menganggap pengetua sebagai rakan seperjawatan dalam hubungan dengan pelajar dan ibu bapa. Pengetua seharusnya perlulah berpengetahuan luas dalam program pendidikan, kebolehan menganalisis prestasi pelajar serta berusaha secara kolektif untuk mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran (PdP). Peranan guru dan pengetua sebagai rakan sependidikan akan mewujudkan  suatu bentuk pemuafakatan dalam menentukan setiap keputusan yang akan dilaksanakan. Pembinaan iltizam melalui konsep pemuafakatan sebagai rakan sependidikan yang digabung dengan unsur PIBG iaitu ibu bapa bersama murid-murid penting bagi meningkatkan prestasi sekolah dan kerberkesanan institusi pendidikan (Rusidi Mustapha, 2013).


e.      Pengetua Sebagai Orang Yang Memulakan Perubahan Pendidikan

Guru melihat  pengetua sebagai penentu utama dalam pelaksanaan inovasi di sekolah. Punca perubahan di sekolah wujud hasil kerjasama antara pengetua dan guru. Guru merasakan bahawa mereka semestinya terlibat terus dalam membuat keputusan tentang perkembangan dan reformasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.  Oleh itu, sebagai pengetua dan pemimpin pendidikan, mereka haruslah memiliki kemampuan dan kompentensi melebihi daya fikir guru-guru dan staf di seluruh bidang, khususnya kemampuan menjana dan membangun keberkesanan sekolah ke arah yang lebih baik sepanjang masa secara menyeluruh. Sebagai contoh,  sebarang perubahan kurikulum baru di sekolah seperti PMR/PT3, perubahan soalan berasaskan Kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) atau High Order Thinking Skill (HOTS),  pihak yang mendapat kesan ialah murid, sementara yang terlibat dengan perubahan ini ialah guru. Menurut Hord (1986), sebarang pelaksanaan ke arah perubahan ini hendaklah dilakukan secara bijaksana dengan mengambilkira usaha sama antara pengetua sebagai pemimpin dengan stafnya (guru). Kegagalan dalam menangani masalah seperti keperluan asas guru sama ada dalam bentuk material dan psikologi semasa membuat sesuatu perubahan pendidikan boleh membantutkan ke arah usaha ini secara berkesan.