Saturday, 22 November 2014

Tazkirah: Hati yang mati

TUHAN tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terserah kepada manusia untuk mencari sebabnya, gunanya dan hikmahnya itu.
Tuhan hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak di atasnya serta menggunakan segala khazanah kekayaan-Nya.
Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lezat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.
Yang lebih penting, ia bertujuan supaya manusia dapat melihat secara zahir/fisik akan alam ciptaan Tuhan ini. Ini adalah bukti besar kepada manusia tentang wujudnya Tuhan. Ini sebenarnya adalah dalil bagi mereka tentang adanya Tuhan.

Mencari Tuhan melalui ciptaanNya

Demikian juga di antara sebab Tuhan mencipta sekalian alam. Bukan saja alam syahadah atau alam yang nyata ini yang boleh dilihat oleh manusia tetapi juga alam-alam yang lain. Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Tuhan. Segala apa yang Tuhan ciptakan itu ialah alam.
Alam itu ialah apa sahaja selain Tuhan. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Tuhan dan satu alam. Tuhan adalah Khaliq yang mencipta. Alam adalah makhluk yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikan.
Namun kebanyakan manusia hanya melihat tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Penglihatan mereka hanya selapis sahaja. Manusia tidak dapat melihat apa yang di sebalik ciptaan Tuhan itu.
Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab. Sama saja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka tertegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan ingin memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lezat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.

Beza mata kepala, mata akal dan mata hati

Manusia sebenarnya dapat melihat dengan berbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini. Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak yaitu hutan yang tebal dan menghijau.
Kalau dia melihat dengan mata akal, maka akan terlihat balak dan kayu-kayuan yang dapat dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Tuhan dan hikmah yang terkandung di dalam ciptaan hutan tersebut. Terasa di hatinya betapa hebatnya Tuhan.
Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak adalah air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang dapat ditangkap dan dijual.
Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang siapa-siapa pun tidak tahu apa sajakah rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Tuhan.
Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Hati mereka buta karena jiwa mereka telah mati
Siapa yang melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah saja yang dia lihat yaitu tanah dan batu-batuan. Siapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam yang terkandung di dalam perutnya.
Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Tuhan yang telah menghamparkan bumi ini untuk dihuni oleh manusia di mana manusia boleh hidup dan mengabdi diri kepada Tuhan. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Tuhan.
Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan yang boleh memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Tuhan di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan.
Hati mereka buta karena jiwa mereka telah mati.
Jiwa mereka sudah tidak bisa berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan Akhirat. Mereka tidak ingin kepada Syurga. Mereka tidak takut kepada Neraka. Mereka tidak merasakan peranan Tuhan dalam hidup mereka.

Tidak rasa diri hamba

Mereka tidak rasa bahwa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Tuhan itu wujud, tetapi hanya sebatas tahu saja. Ia belum menjadi suatu keyakinan atau satu pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan.
Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba. Selagi jiwa mereka ini tidak dihidupkan, selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.
Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba.
Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Tuhan berkenan mencampakkan hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan yang tulen yang layak menjadi hamba dan khalifah Tuhan. Setelah hidayah barulah datang ilmu. Setelah ilmu baru boleh yakin dan faham. Setelah faham, barulah dapat beramal.
Setelah jiwa hidup, mata hati akan celik.
Ketika itu, kita akan terlihat apa-apa yang tersembunyi selama ini. Tuhan akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan.
Segala-galanya akan mudah difahami. Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran, maksudnya: “ Sesungguhnya kami jadikan untuk Neraka jahanam, banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mau memahami. Yang mempunyai mata tetapi tidak mau melihat. Yang mempunyai telinga tetapi tidak mau mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu orang-orang yang lalai.”

No comments:

Post a Comment