Mohd Othman
Yussoff
Terdapat banyak kajian yang telah
dikenal pasti bagaimana mewujudkan
komunikasi efektif dalam menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pelaksanaan komunikasi efektif
akan menentukan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai atau sebaliknya. Antara objektif pengajaran
dan pembelajaran termasuklah pelajar
boleh mengetahui, memahami, mengenal pasti, menyenarai, menghurai, menganalisis
dan mengamalkan sesuatu yang telah dipelajari dengan sebaiknya di akhir
pembelajaran dan untuk masa hadapan. Antara amalan komunikasi efektif yang
boleh dilaksanakan oleh para guru atau pendidik ialah :
PERANCANGAN YANG RAPI
DALAM PENYAMPAIAN MAKLUMAT
Amalan
komunikasi efektif dalam bilik darjah (kelas/tutoran/kuliah) akan membawa hasil
pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Di antaranya ialah perancangan yang rapi dalam penyampaian maklumat
seperti:
1. Menguruskan
aktiviti kumpulan
2. Mengamalkan
strategi pembelajaran berpusatkan
pelajar
3. Menggunakan
kaedah pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbincangan, bercerita, kaedah
Socrates dan perancangan
4. Menggunakan
alat bantu mengajar (ABM) untuk menyampaikan mesej dan konsep
5. Menggunakan
teknik menyoal yang berkesan
Untuk mengamalkan komunikasi efektif
dalam bilik darjah, guru atau pendidik haruslah
menguasai kemahiran penggunaan kaedah dan teknik mengajar, khasnya
teknik menyoal (Mok Soon Sang, 2006).
KEMAHIRAN KOMUNIKASI
LISAN DAN TULISAN
Sebagai penyampai ilmu pengetahuan, guru
sering kali dikehendaki berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan
pelajar-pelajarnya, sama ada dalam aktiviti kurikulum atau aktiviti
kokurikulum. Oleh itu, guru dikehendaki menguasai kemahiran berkomunikasi
secara lisan dan bertulis agar dapat menyampaikan maklumat atau ilmu dengan
efektif. Guru yang boleh bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat akan
membolehkan pelajar-pelajar mengikuti pelajaran yang diajar dengan tepat. Sebagai
contoh dalam aspek penggunaan suara atau pertuturan ia merupakan aset penting
dalam komunikasi. Suara kita mengambarkan kesungguhan, kesedihan, kegembiraan,
kemarahan dan sebagainya. Dengan suara, kita boleh mengawal nada, sebutan dan
lenggok bahasa. Suara atau sebutan yang bertenaga, lontaran suara dan vokal
yang jelas serta nada yang penuh perasaan adalah asas komunikasi yang berkesan.
Ini juga menjadi asas kepada kepercayaan orang lain (para pelajar) kepada
gurunya (Nor Saleha, 2012). Perbualan dan pertuturan guru yang menghiburkan
juga mengurangkan rasa bosan dalam pembelajaran mereka.
Dengan
penggunaan sebutan dan tatabahasa yang betul, para pelajar tidak keliru atau
salah faham apa yang disampaikan oleh guru mereka. Oleh yang demikian,
keberkesanan penyampaian pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan. Justeru itu, kemahiran
berkomunikasi secara lisan dan bertulis merupakan salah satu kualiti
profesional bagi seseorang guru.
a.
Komunikasi Bukan Lisan
Komunikasi guru
tidak terhad kepada komunikasi lisan sahaja malah dalam banyak keadaan
komunikasi bukan lisan dalam bentuk tingkah laku juga memainkan peranan penting
dalam usaha mengekalkan hubungan mesra di kalangan guru dan pelajar.
Pemerhatian pelajar pada gerak-geri guru seperti senyuman, suara, gerak mata
dan kemesraan boleh mempengaruhi pemahaman pelajar (Shabuddin, Dr Rohizani, dan
Mohd Zohir, 2003). Ini termasuklah:
b. Kemesraan
Ia
merujuk kepada kebolehan guru menunjukkan perasaan sayangnya kepada pelajarnya.
Guru-guru yang mengamalkan sifat-sifat begini dapat mewujudkan iklim
pembelajaran yang positif dan sesuai supaya pelajar lebih mudah memahami
perkara yang diajar. Sebagai contoh, mimik muka dan air muka seseorang guru sangat
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Senyuman yang diberikan pada
masa yang sesuai memudahkan seorang guru itu mendekati atau didekati pelajarnya (Nor Saleha, 2012). Secara psikologinya, pelajar yang dapat
mengesan kemesraan pada gurunya lebih mudah berkomunikasi kerana yakin mereka
tidak akan dimarahi atau didenda sekiranya melakukan kesilapan.
c. Empati
Guru-guru
yang dapat mewujudkan empati juga amat disenangi oleh pelajar. Keupayaan guru
meletakkan diri mereka dalam keadaan dan situasi pelajar tersebut membuatkan
pelajar amat menghargai guru tersebut. Perasaan empati ini terpancar melalui
komunikasi guru yang sentiasa memahami dan cuba membantu pelajar mengatasi
masalah pembelajaran mereka.
d.
Komitmen Guru
Semangat
dan komitmen guru yang sentiasa tinggi juga mempengaruhi pelajar berminat pada
pengajaran dan pembelajaran yang
dikendalikan. Emosi ini dapat dikesan melalui kesungguhan guru berusaha
memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dengan mencari dan mencuba cara-cara dan
kaedah-kaedah baru yang lebih baik lagi. Komitmen mereka terpancar melalui nada
suara, gerak mata, air muka, gerak diri, pergerakan jari, simbol, tangan dan
seumpamanya. Banyak kajian menunjukkan bahawa guru-guru yang sentiasa
bersemangat dan bertenaga dapat memotivasikan pelajar dan seterusnya
mengerakkan mereka mengikuti pembelajaran dengan lebih tekun seperti yang
diperkatakan oleh Wan Mohd Zahid, (1994) bahawa guru-guru yang komited akan
memastikan dinamika pentadbiran sekolah, keceriaan iklim sekolah, keanjalan
jadual waktu, perencanaan buku rekod mengajar, susun atur bilik darjah dan
kaedah pengajaran pembelajaran yang dilaksanakan adalah ke arah pencapaian
wawasan, misi dan objektif kecemerlangan.
Komitmen merupakan asas kepada budaya
organisasi, kerana usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan sekolah mestilah
bermula dengan memberi perhatian kepada perlakuan dan pemikiran di kalangan
manusia yang menganggotai sekolah tersebut. Sesuatu peningkatan dan penurunan
komitmen guru-guru atau pendidik kepada organisasinya boleh menyebabkan
gangguan (disequilibrium), perasaan sensitif, kebimbangan dan
menjejaskan hubungan manusia sesama manusia (Mohd Othman, 1996) iaitu
termasuklah para pelajar mereka, guru – pelajar atau guru dengan rakan
sejawatnya.
No comments:
Post a Comment