Thursday, 13 October 2016

AMALAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI MEMPENGARUHI KEBERKESANAN SEKOLAH



Mohd Othman Yussoff
Nor Asiah Ibrahim Shah

Persoalan mengapa amalan kepimpinan transformasi diutarakan dalam perbincangan ini dengan keberkesanan sekolah tidak dapat dielakkan memandangkan pengetua adalah pengurus organisasi  yang amat berkait dengan teori kepimpinan.  Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan transformasi sistem pendidikan melalui pelaksanaan  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT atau HOTS) di kalangan warga sekolah (guru-guru dan pelajar) menjadikan isu pendidikan semakin kompleks dalam era dunia tanpa sempadan. Semenjak 2010 lagi,  pelbagai transformasi sistem pendidikan telah diperkenalkan demi meningkat kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Menurut Alimuddin (2010), transformasi ini bukan sahaja melibatkan perubahan segi kurikulum, sistem peperiksaan tetapi perubahan dalam sistem penilaian yang tidak lagi berdasarkan peperiksaan  semata-mata. Antaranya termasuklah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), LINUS, Satu Murid Satu Sukan, dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).



Sehubungan itu, pengetua sekolah perlu bersedia untuk menyerap segala perubahan yang telah dirancang dan menyampaikan kembali kepada guru-guru dengan berkesan. Pengetua perlu menggunakan kebijaksanaan kepemimpinan mereka untuk mengelakkan tekanan dan bebanan kerja ke atas guru serta memberikan mereka kepuasan kerja.  Lanjutan itu cabaran penstrukturan semula sekolah dan persekitaran yang tidak menentu dalam bidang pendidikan menyebabkan berlakunya “letusan kedinamikan kepimpinan” iaitu peralihan pendekatan teori kepimpinan konvensional kepada penggunaan teori kepimpinan komtemporari (semasa). Menurut Leithwood dan Jantzi, 1999, mereka mendapati berlakuknya perubahan kepimpinan sekolah daripada kepemimpinan pengajaran kepada kepemimpinan transformasi seperti yang ditunjukkan melalui Jadual 1.3.

  Jadual 1.3 :  Model Kepimpinan Transformasi








 
Sumber : Diubahsuai berdasarkan Modul Pembangunan Diri, UKM,  2011

Beberapa kajian literatur,  menunjukkan bahawa amalan kepimpinan transformasi telah membawa perubahan positif kepada kerberkesanan sekolah. Abdul Shukor (2004), menyatakan pengurusan dan kepimpinan pengetua adalah faktor utama yang akan menentukan keberkesanan sekolah serta akan menentukan jatuh bangun sekolah tersebut.  Abdul Ghani (2005), menegaskan bahawa pengamalan gaya dan amalan kepemimpinan transformasi oleh pengetua berupaya meningkatkan prestasi guru (perlakuan warga organisasi) dan sikap guru (peningkatan komitmen guru).  Manakala Koh (2008), menyatakan bahawa dengan kepemimpinan transformasi, pengetua sekolah yang cemerlang akan membangunkan minda guru-guru melalui keupayaan kepimpinan guru-guru iaitu merujuk kepada penglibatan meluas dan berketrampilan dalam  tugas-tugas memimpin.

Kajian Jazmi (2009), juga mencadangkan agar pengetua mengamalkan gaya kepimpinan transformasi. Hal ini menurut beliau adalah berpunca dengan sistem pendidikan sekarang yang semakin kompleks dan rencam  di mana berlakunya pertambahan beban tugas guru yang menimbulkan tekanan kerja. Guru dikatakan terikat dengan  pelbagai tugas lain di samping tugas hakiki mereka. Selain itu, usaha menambah baik kecekapan peringkat mikro organisasi pendidikan dan sekolah telah menyebabkan tekanan terhadap organisasi sekolah supaya meningkatkan prestasi dan pencapaian, dan ianya menyebabkan beban tugas kepimpinan peringkat sekolah semakin bertambah.

Dalam dunia globalisasi, ciri-ciri dan amalan kepimpinan tradisional dan konservatif yang berorientasikan “taklid buta” antara pengikut (pekerja/guru) dengan ketua mereka (pemimpin/pengetua) sudah lapuk ditelan zaman dan tidak sesuai untuk dipratikkan terutamanya organisasi pendidikan. Hallinger, (2003), menjelaskan pada masa kini, kepemimpinan tidak lagi memberi fokus kepada hanya seorang pengetua sebagai pemimpin.  Pengetua perlu memahami bahawa guru-guru juga telah memainkan peranan penting menggerakkan perubahan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar di sekolah. Perkongsian kuasa kepemimpinan (empowerment) antara pengetua dan guru mula membanjiri konsep kepimpinan dalam pendidikan. Tanggungjawab memimpin mulai berkembang dari seorang pengetua mengalir ke bawah kepada guru yang diistilahkan sebagai “distributed leadership”, “teacher leadership”, dan “shared leadership”.

Pengamalan kepimpinan transformasi juga amat penting kerana pengetua terpaksa berhadapan dengan guru-guru, staf dan pelajar yang merupakan elemen-elemen yang memerlukan perhubungan kemanusiaan yang lebih tinggi. Ini bertepatan dengan pandangan Parkinson dalam bukunya “A Little Touch” menjelaskan manusia  (contohnya guru-guru, pelajar, dan staf) mempunyai hati dan perasaan dan bukannya mesin atau robot yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Kajian Woo (2007), mendapati pengetua yang berpengaruh, kemas kini, berbudi bahasa, mesra, bersabar (tret karisma), selalu memberi penghargaan terhadap kerja yang baik , percayakan kemampuan guru dan sentiasa ada semasa diperlukan,  memberikan kepuasan kerja yang tinggi kepada guru-guru yang sudah tentu menjamin peningkatan prestasi dan keberkesanan sekolah.

4.0  KESIMPULAN

Persoalan keberkesanan sekolah  dan hubungannya dengan kepimpinan merupakan suatu polemik yang amat mencabar dengan pelbagai isu dan cabaran.  Pelbagai saranan dan lontaran pemikiran diperdebatkan dalam seminar, bengkel, forum dan media elektronik sehingga menimbulkan percanggahan model, teori, mazhab dan aliran pemikiran pendidikan yang merentasi ruang sempadan yang tiada kesudahan penyelesaiannya. Walaupun secara idealisnya kita mengatakan terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah seperti kepimpinan pengetua yang berkesan, pengurusan dan pentadbiran sekolah yang baik, peranan penolong-penolong kanan dan sebagainya, tetapi mengapa secara realitinya pelbagai pihak suka menggunakan keputusan peperiksaan (pencapaian akademik) untuk mengukur keberkesanan sekolah? . Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan “Sekolah Harapan Negara”, “Sekolah Wawasan”, “Sekolah Bestari”, “Sekolah Integrasi” dan bermacam-macam jenama sekolah di seluruh negara tetap tidak terlepas daripada penilaian akademik dan peperiksaan sebagai kayu pengukur.

Oleh sebab itu, bagi saya inilah cabaran dan isu yang ditanggani bersama antara “idealis” dan “realitinya” kita sebagai pemimpin khususnya pengetua dan guru besar di sekolah.  Sebenarnya organisasi pendidikan KPM, JPN, PPD  dan  kepimpinan sekolah iaitu pengetua atau guru besar mulai sekarang perlulah mengubah pragdima bahawa keberkesanan sesebuah sekolah itu bukan sahaja berpaksikan kepada pencapaian akademik, tetapi berteraskan konsep ketuhanan, menerapkan nilai murni,  melahirkan insan yang seimbang (harmonis) sama ada di dunia dan di akhirat, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan ketauhidan Allah S.W.T sebagai Maha Pencipta.

  
RUJUKAN

Abdul Ghani Kanesan  Abdullah. (2005). Kesan Amalan Penupayaan Dalam Pengajaran Pembelajaran Terhadap Beban dan Persekitaran Kerja Guru. Educational Management and Leadership Journal, IAB. Vol. 15, 19 – 30.

Abdul Ghani Kanesan Abdullah &  K. Anandan. (2009). Pengaruh Kepemimpinan Transformasi Sekolah dan Efikasi Kolektif Guru Terhadap Komitmen Kualiti Pengajaran. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke 16. IAB.

Abdul Shukor Abdullah. (2004). Ucap Utama : Kepimpinan Unggul Tonggak Bidang Pendidikan Cemerlang. Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Ke 12. IAB.

Al. Ramaiah. (2009). Kepimpinan Pendidikan. Puchong : IBS Sdn. Bhd.

Alimuddin Mohd Dom.  (2010). Transformasi Pendidikan Bermula. http://perkhidmatan pelajaran blogspot.com.

Djam’an Satori  (2006). Pembeberdayaan Manajemen Berbasis Sekolah. Lembang : Seminar Tenaga Kependidikan.

Edmonds, R.  (1979). Effective School for The Urban Poor. Educational Leadership 40(3),  hlm. 4-1

Geltner. (1981). The Leader Effectiveness. Washington : Society Publications.  

Hallinger, P. (2003).  Leading Educational Change : Reflections On The Practice Of Instructional and Transformational Leadership. Cambridge Journal of Education. 33 (3), 329 – 351.

Hord, S. M. (1986). A synthesis of research on organizational collaboration. Educational Leadership. 43(5), 22–26
Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussein Mahmood. (2005). Kepemimpinan Profesionalisme : Satu Utopia? Jurnal Pemimpin, 5 : 39 – 51.

Jaap Scheerens. (1992). Improving School Effectiveness. Paris : United Nation Educational.

Jazmi Md. Isa. (2009). Gaya Kepemimpinan Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru : Kajian Perbandingan SMKA dan SMK. Tesis Sarjana. Universiti Utara Malaysia.

Kamus Dewan. (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Koh Lee Lee. (2008). Kepimpinan Transformasi Terhadap Komitmen Guru Di beberapa Buah Sekolah di Daerah Petaling. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.

Leithwood K.,  & Jantzi D. (1999). Transformational School Leadership Effects : A Replication. School Effetiveness and School Improvement. 10 (4), 451 – 479.

Modul Pembangunan Diri (2011).  Bangi.  UKM Press.

Muijs D., & Harris,  A. (2007). Teacher Leadership In Action : Three Case Studies Contrasting School. Educational Management Administration  & Leadership. 35(1) : 111 – 134.

Olen @ Ulin Tabor. (1998). Gaya Kepimpinan Guru Besar Dengan Keberkesanan Sekolah : Kajian di Daerah Saratok, Sarawak. Tesis Sarjana. Universiti Malaysia Sarawak.

Rahimah Hj. Ahmad. (2005). Kepengetuaan dan Kepemimpinan Sekolah : Pembangunan dan Penambahbaikan Pengajaran. Jurnal Pemimpin, 5. 1 – 10.

Rusidi Mustapha. (2013). Penambahbaikan dan Keberkesanan Sekolah. Blogspot.com. 17 April 2013.

Sergiovanni, T.J. (2001). The Principalship of Reflektive Practice Perpectif.
Boston : Allyn and Bacon.

Stephen P. Robbin, (1993). Organizational Behavior. New Jersey : Prentice Hall.
Stoll, L., & Fink, D. (1996). Changing our schools: Linking School effectiveness and school improvement. Buckingham: Open University Press.


Terry, G.R.( 1960). Principles of Management.  Illinois : Homewood.
Woo Yoke Ling. (2007). Kepuasan Kerja Guru-guru Aliran Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Sekolah-sekolah Menengah Teknik di Johor. Tesis Sarjana. Univerisiti Teknologi Malaysia.

No comments:

Post a Comment