Mohd
Othman yussoff
Nor Asiah
Ibrahim Shah
Isu kepimpinan dalam bidang pendidikan
menjadi semakin kompleks dalam era dunia tanpa sempadan. Pemimpin-pemimpin
sekolah perlu sentiasa proaktif serta bersedia melengkapkan diri dengan
perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi selaras dengan
perkembangan dunia pendidikan yang semakin mencabar. Kepemimpinan sekolah
sentiasa berhadapan dengan tekanan yang berterusan dalam meningkatkan standard dan penambahbaikan sekolah. Hal
ini kerana sekolah merupakan agen yang penting dalam pembinaan generasi masa
depan (Rahimah, 2005). Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada corak
kepimpinan yang diamalkan di sesebuah sekolah (Hussein, 2005). Kepemimpinan
yang berkesan adalah asas kepada penambahbaikan sekolah yang berterusan (Muijs
& Harris, 2007, Abdul Ghani & Anandan, 2009). Ringkasnya kepimpinan
sekolah masa kini perlu berubah atau diperbaharui untuk memastikan sekolah
mengalami perubahan yang berterusan.
Kepimpinan
Pengetua/Guru Besar dengan Keberkesanan Sekolah
Dalam usaha mengejar dan mencapai
kecemerlangan pendidikan, sama ada di negara kita, mahupun di negara-negara
maju yang lain, kepimpinan pengetua atau guru besar sering dilihat sebagai fokus
utama. Ini bererti, pengetua atau guru besar dilihat sebagai punca masalah atau
pihak yang menimbulkan masalah atau sebagai penyelesai masalah dalam
pelaksanaan program pendidikan. Di Amerika Syarikat misalnya, banyak cadangan
telah dikemukakan melalui pelbagai laporan utama seperti A Nation At Risk (National
Commission on Excellence in Education, 1983; Action For Excellence (Task Force
on Excellence for Economic Growth, 1983; Better Education For Michigan Citizen
: A Blueprint For Action (Michigan State Board of Education, 1984; Leader For
America’s Schools (The National Commission on Excellence in Educational
Administration, 1987), menegaskan betapa pentingnya kepimpinan pengetua
atau guru besar di sekolah.
Edmonds (1979), menyatakan kejayaan sesebuah
sekolah terletak di tangan pengetua atau guru besar. Pengetua atau guru besar
boleh mengubah sekolah yang tidak berkesan kepada sekolah yang berkesan.
Hussein Mahmood (1993) menyatakan bahawa rata-rata kajian yang berkaitan
membuat kesimpulan bahawa apa yang membezakan keberkesanan sekolah dengan
sekolah yang lain adalah kepimpinan pengetua atau guru besar. Kepimpinan
pengetua atau guru besar yang dinamik dan bersungguh-sungguh telah dikenalpasti
sebagai satu pembolehubah yang dikatakan membawa kejayaan kepada sesebuah
sekolah.
Sebenarnya terdapat lima peranan pengetua
atau guru besar yang boleh dikaitkan melalui kerangka konsep berikut (Jadual
1.2 ):
a. Pengetua Sebagai Ahli Falsafah Pendidikan
Guru menganggap pengetua sebagai orang
penting dalam kehidupan mereka di sekolah. Sebagai pemimpin, pengetua
menyampaikan dan menjelaskan apa yang dipercayai tentang visi, misi, matlamat
serta tujuan tugasan/tanggungjawab mereka dalam memenuhi kehendak organisasi
atau sekolah. Guru pula cuba memahami
dan berkongsi serta menghayati bersama-sama apa yang dipercayai atau
disampaikan oleh pengetuanya, serta turut memberi sokongan. Implikasinya kerja-kerja
di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi erti melalui
perpaduan (kerja sepasukan) yang wujud di kalangan guru.
Menurut Hussien (1993), sebagai pengetua,
mereka haruslah mempunyai tanggungjawab dalam hal-hal berkaitan sekolah iaitu:
(a) berusaha
bagi mencapai dasar pendidikan di peringkat sekolah
(b) mengurus
dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan pelajar, guru dan staf
sokongan sekolah
(c) menyediakan
khidmat bantu yang secukupnya bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran
(PdP) dan
(d) mewujudkan
dan memajukan iklim dan budaya sekolah
b.
Pengetua
Sebagai Model Pendidikan
Guru menganggap pengetua sebagai model pendidikan
yang mengubah tingkahlaku guru dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik.
Oleh sebab itu dalam banyak kajian pengetua dilabel dengan pelbagai gelaran,
antaranya dikatakan “pemimpin teknikal”, “jurutera manusia”, “pemimpin
simbolik”, “clinical practioner” dan
“pemimpin budaya” (Hussien, 1993, dan Rushida Mustapha, 2013). Pengetua harus
mampu menjadi pemimpin yang efisyen dan efektif yang mencerminkan ketrampilan
yang menarik, kemampuan mengurus serta sifat dan jati diri sebagai pengetua.
Pengetua sekolah tidak hanya mengelola sekolah secara statik, tetapi semestinya
mengerakkan semua potensi yang berhubungan langsung dengan kepentingan
pengajaran dan pembelajaran para pelajar. Kegagalan pengetua menciptakan
kondisi pengajaran dan pembelajaran yang efisyen dan efektif akan memberikan
implikasi pada mutu prestasi dan masa depan anak didiknya.
c.
Pengetua Sebagai Penyokong Pendidikan
Guru menganggap pengetua sebagai sumber untuk
mendapatkan sokongan. Mereka telah mengalami peristiwa bahawa sokongan pengetua
sejak mereka mula bertugas memberi kesan yang mendalam dalam bidang
profesionalisme. Sebagai pengetua mereka seharusnya memahami guru merupakan
aset sumber manusia yang penting, pengetahuan tentang pengurusan
kemanusiaan amat penting, supaya tidak
wujud tekanan dan kekangan keterlaluan
antara guru-guru di sekolah. Peranan ini cukup penting kerana ia akan dapat
meningkatkan prestasi guru seterusnya meningkatkan keberkesan organisasi
sekolah. Sebaliknya corak kepimpinan pengetua yang tidak sesuai (kurang
menyokong) akan mewujudkan hubungan kurang baik dengan guru, membawa tekanan
berlebihan yang boleh menjejaskan keberkesanan organisasi.
d.
Pengetua Sebagai Rakan Sependidikan
Guru menganggap pengetua sebagai rakan
seperjawatan dalam hubungan dengan pelajar dan ibu bapa. Pengetua seharusnya
perlulah berpengetahuan luas dalam program pendidikan, kebolehan menganalisis prestasi
pelajar serta berusaha secara kolektif untuk mencapai matlamat pengajaran dan
pembelajaran (PdP). Peranan guru dan pengetua sebagai rakan sependidikan akan
mewujudkan suatu bentuk pemuafakatan
dalam menentukan setiap keputusan yang akan dilaksanakan. Pembinaan iltizam
melalui konsep pemuafakatan sebagai rakan sependidikan yang digabung dengan
unsur PIBG iaitu ibu bapa bersama murid-murid penting bagi meningkatkan
prestasi sekolah dan kerberkesanan institusi pendidikan (Rusidi Mustapha,
2013).
e.
Pengetua Sebagai Orang Yang Memulakan
Perubahan Pendidikan
Guru melihat
pengetua sebagai penentu utama dalam pelaksanaan inovasi di sekolah.
Punca perubahan di sekolah wujud hasil kerjasama antara pengetua dan guru. Guru
merasakan bahawa mereka semestinya terlibat terus dalam membuat keputusan
tentang perkembangan dan reformasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di
sekolah. Oleh itu, sebagai pengetua dan
pemimpin pendidikan, mereka haruslah memiliki kemampuan dan kompentensi
melebihi daya fikir guru-guru dan staf di seluruh bidang, khususnya kemampuan
menjana dan membangun keberkesanan sekolah ke arah yang lebih baik sepanjang
masa secara menyeluruh. Sebagai contoh, sebarang perubahan kurikulum baru di sekolah
seperti PMR/PT3, perubahan soalan berasaskan
Kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) atau High Order Thinking Skill (HOTS), pihak
yang mendapat kesan ialah murid, sementara yang terlibat dengan perubahan ini
ialah guru. Menurut Hord (1986), sebarang pelaksanaan ke arah perubahan ini
hendaklah dilakukan secara bijaksana dengan mengambilkira usaha sama antara
pengetua sebagai pemimpin dengan stafnya (guru). Kegagalan dalam menangani
masalah seperti keperluan asas guru sama ada dalam bentuk material dan
psikologi semasa membuat sesuatu perubahan pendidikan boleh membantutkan ke arah
usaha ini secara berkesan.
No comments:
Post a Comment