Tuesday, 16 December 2014

CONTOH 1 : ULASAN ARTIKEL


Mohd Othman Yussoff
Nor Asiah Ibrahim Shah
AMALAN PEDAGOGI PRODUKTIF DALAM KALANGAN GURU-GURU SAINS SEKOLAH MENENGAH DI MALAYSIA

1.0   PENGENALAN

Jurnal  yang dihasilkan oleh Nor Asnita Ishak, Hasri Jamil, Nordin Abd Razak dan Mohamad Zohir Ahmad yang dipetik dalam Malaysian Journal of Learning dan Inststruction : Vol. 10 (2013) : 233 – 269 merupakan satu kajian sainstifik berasaskan gabungan “mixed-methods”  dengan kaedah kuantitatif (Statistical Package for Social Sciences atau SPSS) dan kaedah kualitatif iaitu dengan teknik  menggunakan soal selidik dan protokol temubual berstruktur. Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan mengenalpasti sejauhmana keupayaan amalan guru-guru Sains sekolah menengah dalam mengaplikasikan  pendekatan  pedagogi produktif iaitu: (1)  kualiti intelektual, (2) keberkaitan atau hubungkait pelajaran dengan pengalaman pelajar, (3) mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif; dan (4) keprihatinan terhadap perbezaan yang wujud dalam kalangan pelajar.

Kajian ini melibatkan 414 guru Sains daripada sejumlah 866 orang guru sains  yang meliputi 44 buah sekolah menengah daripada 124 buah sekolah menengah di sekitar Pulau Pinang telah dipilih sebagai sebagai sampel.

Para pengkaji telah menggunakan analisis perisian SPSS melalui kaedah Ujian-t dan Analisis Varian Sehala (One Way ANOVA) mendapati tidak terdapat perbezaan signifikan (p > 0.05) antara ke empat-empat dimensi pedagogi produktif yang tersebut di atas dengan jantina guru (Ujian-t), matapelajaran sains, pengalaman mengajar dan bangsa (ANOVA). Saya juga mendapati kaedah kualitatif yang digunakan iaitu kaedah temubual bersama guru oleh para pengkaji  menunjukkan persepsi para guru dalam melaksanakan amalan pedagogi produktif adalah tidak sekata (kabur) dengan apa yang hendak dikaji oleh mereka yang mungkin berpunca daripada perbezaan pendapat atau teknik temubual yang sukar diukur dalam bentuk skala.

Walaubagaimana adalah didapati para pengkaji telah dapat memberikan pendedahan berkesan  kepada pihak berkenaan (Kementerian Pendidikan Malaysia) bahawa amalan pedagogi produktif di kalangan guru-guru Sains di sekolah menengah masih kurang dihayati atau diaplikasikan ke atas para pelajar walaupun Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang terbina mempunyai intipati yang jelas dalam membangunkan modal insan dan potensi individu pada masa hadapan.

2.0   PERBINCANGAN

Dalam usaha untuk memperkenalkan kajian mereka mengenai amalan pedagogi produktif di kalangan guru sains sekolah menengah, pengkaji-pengkaji yang tersebut telah menghuraikan dengan terperinci peranan guru-guru yang mempunyai tanggungjawab dan tugas yang semakin mencabar untuk membentuk generasi muda yang dapat memimpin masyarakat dan negara. Genarasi muda ini harus mempunyai ciri-ciri yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsa (FPK) yang memberi penekanan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Para pengkaji menekankan kepentingan modal insan iaitu dalam usaha memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi menyediakan guna tenaga dalam pelbagai jenis bidang pekerjaan merupakan satu hasrat utama negara dalam pembangunan. Mereka menjelaskan bahawa guru mempunyai kesan yang signifikan terhadap pembelajaran dan pencapaian murid. Namun begitu, dunia pendidikan sekarang sentiasa berubah dari segi pedagogi,teori pembelajaran, kurikulum dan matlamat pendidikan. Justeru, adalah penting untuk guru membuat refleksi terhadap amalan pengajarannya di samping menimba pengetahuan dan bentuk amalan pedagogi yang baru bagi memenuhi kehendak pelajar. Guru perlu lebih berinovasi dan mengurangkan kaedah pengajaran yang lebih ke arah konvensional secara “chalk and talk”.

Penulisan kajian dalam jurnal ini, menekankan kepentingan tajuk kajian yang dipilih adalah berasaskan masih kurang kajian yang dilaksanakan untuk meneroka amalan pedagogi produktif serta faktor-faktor yang boleh mempengaruhi amalan ini seperti pengalaman mengajar, subjek yang diajar, jantina dan kumpulan etnik. Menurut mereka kajian amalan pedagogi ini hanya giat dilaksanakan di negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Justeru itu, mengkaji amalan pedagogi produktif di kalangan guru Sains sekolah menengah di Malaysia adalah amat relevan, sesuai dengan penekanan yang diberikan untuk membina modal insan yang berkualiti. Justeru itu untuk menyesuaikan kajian ini di Malaysia, para pengkaji telah menggunakan konsep pedagogi produktif yang telah diperkenalkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti of Queenlands iaitu Lingard dan Ladwig, 2001.

 3.0   KEKUATAN DAN KELEMAHAN

3.1 Penyusunan Olahan Kandungan Jurnal

Para penyelidik telah berjaya menyusun dan membina penyelidikan asas sainstifik yang bersifat “mini thesis” yang relevan dengan kajian ini seperti dimulai dengan halaman abstrak (hal : 233), pengenalan (hal : 235), penyataan masalah (hal : 237), sorotan kajian (hal : 239), objektif dan persoalan kajian (hal : 243), metodologi kajian (hal : 243), dapatan kajian (hal : 245), dapatan kualitatif (hal : 251),  kesimpulan dan perbincangan (hal : 263) dan diakhiri dengan rujukan kajian (hal : 267). Ini merupakan kerangka yang “standard”  atau syarat piawai sesebuah tesis atau jurnal yang dikehendaki dalam kesemua institusi pengajian tinggi.

Kelemahannya yang dapat dikesan hanyalah dibahagian objektif kajian (hal : 243) di mana para penyelidik mengabungkan dua elemen yang sepatutnya boleh dipisahkan kepada dua bahagian iaitu objektif kajian dan persoalan kajian. Walaubagaimana pun  ianya bukanlah merupakan suatu kelemahan yang ketara.

Frasa ayat dalam objektif kajian sepatutnya lebih tepat digantikan perkataan yang lebih penting seperti objektif (1) “mengkaji amalan” kepada “mengenalpasti amalan”, objektif (2) “membanding amalan” kepada “mengenalpasti secara perbandingan amalan” serta objektif (3) “meneroka amalan pedagogi semasa dan amalan pedagogi produktif” kepada “mengenalpasti amalan pedagogi semasa dan amalan pedagogi produktif”.  Perkara ini amat penting supaya objektif kajian itu bersifat spesifik atau lebih khusus.

3.2  Metodologi Kajian

Kajian sainstifik berasaskan gabungan “mixed-methods”, gabungan  dengan kaedah kuantitatif (Statistical Package for Social Sciences atau SPSS) dan kaedah kualitatif iaitu dengan teknik  menggunakan soal selidik dan protokol temubual berstruktur merupakan satu pendekatan yang tepat dalam kajian yang bersifat ilmiah. Kaedah statistik SPSS seperti Analisis Varian Sehala atau One Way ANOVA untuk pembolehubah demografi iaitu mata pelajaran, pengalaman mengajar dan bangsa, Ujian-t (T-test) untuk jantina merupakan merupakan suatu analisis yang tepat dalam kaedah statistik.

Penggunaan skala Likert dengan skala 0 hingga 4 dalam pembinaan item soalan juga merupakan pendekatan yang bersesuaian dengan kajian. Begitu juga penggunaan ‘pilot test” atau Ujian Rintis Cronbach Alpa untuk melihat kebolehpercayaan ke empat- empat dimensi pedagogi produktif dalam ujian rintis  sememangnya dimestikan sebelum membuat kajian dalam lapangan sebenar. Dapatan para penyelidik dalam ujian rintis Cronbach Alpa ke atas empat dimensi pedagogi produktif iaitu kualiti intelektual (0.67), keberkaitan/hubung kait  (0.80), sokongan dalam persekitaran bilik darjah  (0.79) dan menghargai dan menangani perbezaan  (0.70). menunjukkan kebolehpercayaan pembinaan yang tinggi dan kuat konsintensinya. Begitu juga pembinaan item soalan sebanyak 33 item yang merangkumi 8 item (kualiti intelektual), 8 item  (keberkaitan/hubungkait), 8 item (sokongan dalam persekitaran bilik darjah) dan 9 item (menghargai dan menangani perbezaan) menunjukkan keseimbangan taburan yang baik bagi setiap dimensi pembolehubah pedagogi produktif.

Kelemahan kajian ini ialah penggunaan kaedah kualitatif iaitu temubual secara berstruktur yang melibatkan 5 orang guru sahaja daripada 414 sampel soal selidik bukanlah suatu penyelidikan yang jitu dan menyeluruh, malah tidak mewakili populasi sebenar guru-guru sekolah menengah sains di Pulau Pinang yang berjumlah 866 orang. Di samping itu penggunaan skala Likert  antara skala 0 hingga 4 adalah lebih menarik jika ditukar dalam skala 1 hingga 5 seperti berikut  (Jadual 1.1) di bawah:

Jadual 1.1 Cadangan Skala Likert

Skala Likert Para Pengkaji

Skala Likert Cadangan
0 = Sangat Tidak Setuju (STS)
1 = Sangat Tidak Setuju (STS)
1 = Tidak Setuju (TS)
2 = Tidak Setuju (TS)
2 = Kurang Setuju (KS)
3 = Kurang Setuju (KS)
3 = Setuju (S)
4 = Setuju (S)
4 = Sangat Setuju (SS)
5 = Sangat Setuju (SS)

 Selain itu kelemahan metodologi yang nyata ialah ketiadaan pembinaan kerangka konseptual atau reka bentuk kajian antara kesemua pembolehubah demografi iaitu matapelajaran, pengalaman mengajar,jantina dan bangsa guru, dengan pembolehubah pedagogi produktif iaitu kualiti intelektual, keberkaitan/hubung kait, sokongan dalam persekitaran bilik darjah dan menghargai dan menangani perbezaan. Para pengkaji sepatutnya membina kerangka konseptual atau reka bentuk kajian seperti berikut (Jadual 1.2):

Para pengkaji dalam jurnal ini dengan jelas telah alpa dan tidak dapat mengenalpasti  dalam mentafsirkan pembolehubah-pembolehubah kajian mereka sama ada  ianya pembolehubah tidak bersandar (independent variable) atau pembolehubah bersandar (dependent variable) seperti yang saya tunjukkan dalam kerangka konseptual di atas.  Huraian penyelidikan jurnal sepatutnya meletakkan ke empat-empat   pembolehubah Dimensi Pedagogi Produktif iaitu kualiti Intelektual, keberkaitan/hubung kait,persekitaran bilik darjah yang kondusif dan menghargai dan menangani perbezaan sebagai pembolehubah bersandar, manakala pembolehubah demografi iaitu jantina, mata pelajaran, pengalaman mengajar dan bangsa sebagai pembolehubah tidak bersandar (Jadual 1.2).




3.3 Dapatan Kajian

Dalam kajian jurnal ini kaedah-kaedah stastistik SPSS telah digunakan untuk menganalisis data seperti Ujian-t dan Analisis Varian Sehala (ANOVA). Para penyelidik telah mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan (p > 0.05) ke atas empat dimensi pedagogi produktif (kualiti intelektual : nilai t = -0.24, p = 0.81, hubungkait : nilai t = - 1.43, p = 0.18, persekitaran bilik darjah  : nilai t = -0.88, p = 0.38 dan menghargai perbezaan: nilai t = - 1.35, p = 0.18) pembelajaran sains dengan jantina para guru sains di sekolah menengah dalam Ujian-t yang dilaksanakan. Begitu juga Analisis Varian Sehala (ANOVA) ke atas pembolehubah mata pelajaran, pembolehubah pengalaman mengajar sains dan bangsa guru didapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan (p > 0.05) ke atas ke empat-empat dimensi pedagogi produktif.
          
Walaupun dapatan kajian para pengkaji mendapati ke empat-empat dimensi pedagogi produktif  tidak mempunyai perbezaan signifikan (p > 0.05) dalam Ujian-t ke atas jantina, ujian ANOVA ke atas mata pelajaran, pengalaman mengajar dan bangsa diakui kesahihan dapatannya tetapi para pengkaji sebenarnya boleh menyelidik lebih mendalam  berkaitan dengan kekuatan ke empat-empat dimensi pedagogi produktif dalam kaedah statistik lain seperti Korelasi Pearson dan Regrasi Berganda (Multiple Regresion). Ini kerana pembolehubah demografi seperti jantina, bangsa, pengalaman mengajar dan bangsa hanyalah pembolehubah statik yang terlalu banyak dikaji dalam pelbagai bidang kajian.

Dengan menggunakan Korelasi Pearson, para pengkaji boleh mengenalpasti sejauhmana kekuatan hubungan ke empat-empat dimensi pedagogi produktif iaitu hubungan pembolehubah  kualiti intelektual, hubungkait, persekitaran bilik darjah dan pembolehubah menghargai perbezaan sama ada signifikan (p < 0.05) atau tidak signifikan (p > 0.05). Penggunaan Regrasi Berganda (Multiple Regresion) boleh digunakan untuk mengenalpasti dalam ke empat-empat dimensi pedagogi tersebut, manakah yang lebih berperanan atau lebih berpengaruh di kalangan pembolehubah.

Selanjutnya, analisis stastistik para pengkaji   mengenai skor min sepatutnya dipuratakan mengikut skala 0 hingga 4 dan bukannya seperti halaman 247 di mana pengkaji menggunakan skor min keseluruhan seperti pembolehubah kualiti intelektual (min = 24.0), keberkaitan/hubung kait(min =  24.9), persekitaran bilik darjah (min = 25.9) dan menghargai dan menangani perbezaan (min = 28.2). Walaupun skor tersebut menunjukkan kedudukan pengaruh min pembolehubah  dengan jelas, yang menunjukkan amalan pedagogi produktif guru-guru sains didapati lebih menekankan aspek dimensi menghargai dan menangani perbezaan (min = 28.2) dan kurang menekankan aspek kualiti intelektual dalam bilik darjah (min = 24.0),   tetapi dengan   mempurata min mengikut skala Likert 0 hingga 4 ianya memperkukuhkan lagi kedudukan dapatan kajian dari segi analisis min.   
 
3.4  Dapatan Kualitatif 

Para penyelidik telah mendapati kajian melalui melalui kaedah temubual menunjukkan guru-guru Sains menggunakan teknik dan strategi yang berbeza dalam mengamalkan dimensi pedagogi produktif seperti teknik penyoalan, perbincangan, mengaitkan isi kandungan dengan pengalaman dan dunia sebenar pelajar dan menerap nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran.

Tetapi apa yang menjadi persoalan kajian ini hanya melibatkan lima orang guru (empat orang  guru perempuan dan seorang orang guru lelaki) daripada 414 orang responden yang dikaji secara kualitatif. Ini membuktikan kajian ini tidak menyeluruh sama ada berdasarkan jantina, pengalaman mengajar, bangsa, dan bidang mata pelajaran sains. Justeru itu segala dapatan temubual ini walaupun berskruktur ia tetap merupakan suatu dapatan yang bias, ralat serta integriti kebolehpercayaan kajian yang meragukan kerana jumlah sampel atau responden yang diambil adalah amat kecil bilangannya (5 oarang sahaja) yang tidak mewakili jumlah responden dan populasi  yang sebenar.


4.0  KESIMPULAN

Secara keseluruhanya, para pengkaji telah berjaya mengenalpasti dapatan kajian mereka iaitu tidak terdapat perbezaan signifikan (p > 0.05) di antara pembolehubah pedagogi dimensi produktif (kualiti intelektual, keberkaitan/hubung kait, persekitaran bilik darjah dan menghargai.menangani perbezaan) dalam mata pelajaran Sains di sekolah menengah dengan pembolehubah demografi iaitu jantina, pengalaman mengajar Sians, bangsa/etnik, dan mata pelajaran. Kaedah Ujian-t (T-test), Analisis Varian Sehala (ANOVA), skala Likert dan analisis taburan min merupakan pilihan tepat bagi kajian tersebut walaupun boleh diperbagaikan dengan kajian lain seperti Korelasi Pearson dan Regresi Berganda.untuk pembolehubah pedagogi produktif.

Walaupun begitu, adalah didapati kaedah temubual berstruktur (kaedah kualitatif) hendaklah diperluaskan sampel atau respondennya kerana jumlahnya yang kecil berbanding populasinya yang sebenar para guru di sekolah menengah. Malah sekiranya kaedah kualitatif tidak digunakan dalam kajian ini ianya tidak mencacatkan kajian ini kerana kaedah kuantitatif telah berupaya mengenalpasti dapatan kajian yang dikehendaki.



RUJUKAN

Abdull Sukor Shaari. (2008).Guru berkesan: Petua dan panduan.Sintok: Penerbit Universiti
Utara Malaysia
Aveling, N., & Hatchell, H. (2007).Good intentions are not enough:Promoting quality teaching
and pedagogy productive inteacher education Program. Kertas Kerja yang Dibentang untuk Australian Association for Research in Education Conference
Bernstein, B. (1996). Pedagogy, symbolic control and identity Bristol: Taylor and Francis
Creswell, J. W. (2003). Research design: Qualitative, quantitative, and mixed methods approaches. Thousand Oaks, CA: Sage.
Darling-Hammond, L. (1999). Doing what matters most: Investing in quality teaching. New   
York: National Commission on Teaching and America’s Future.
Darling-Hammond, L., & McLaughlin, M. W. (1995). Policies that  support professional
            development in an era of reform. Phi Delta Kappan, 76 (8), 597-604.
Darling-Hammond, L. (2000). Teacher quality and students’ achievement.Capaian daripada
Fields, B. A. (2002). Productive pedagogies and discipline : The challenge of alingning teaching
            and behaviour management. Faculty of Education: University of Southern Queensland.
Gay. L. R., Mills, & Airasian. (2006). Educational research competencies for analysis and
            applications. New Jersey: Pearson Merrill Prentice Hall.
Gore, J. G., & Marrison, K. A. (2001). The perpetuation of a (semi-) profession: Challenges in
            the governance of teacher education. Teaching and Teacher Education, 17(5),567-582
Hazri Jamil, Nordin Abdul Razak, Fadzilah Abd. Rahman,Mohammad Zohir Ahmad @ Saari, &
Mohd Nor Isman Ismail. (2009). Productive pedagogies for Malaysian education system: Investigating the classroom practice of  Malaysian Secondary School teacher. Seminar JPPG09. School of Cognitive Science and Human Development, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Hill, P. W., & Rowe, K. J. (1996). Multilevel modelling in school effectiveness research  School
            Effectiveness and School Improvement , 7(1), 1-34.
Luyten, H., & Snijders, T. A. B. (1996). School effects and teacher effects in Dutch elementary
            Education. Educational Research and Evaluation, 2(1), 1-24.
Odden, A., Borman, G., & Fermanich, M. (2004). Assessing teacher, classroom, and school
            effects, including fiscal effects. Peabody Journal of Education, 79(4), 4-32.
Reezigt, G. J., Guldemond, H., & Creemers, B. P. M. (1999). Empirical validity for
comprehensive model on educational effectiveness. School Effectiveness and School mprovement, 10(2), 193-216.
Saedah Siraj & Norhayati Ishak. (2006). Peningkatan kualiti pengajaran di institusi pengajian
tinggi di Acheh.Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh,UKM Bangi. Dicapai daripada http://pkukmweb.ukm.my
Sorin, R., & Klein, M. (2002). Walking the walk and talking the  talk: Adequate teacher
preparation in these uncertain times? Kertas Kerja yang dibentang di AARE, Brisbane, Australia. Dicapai daripada http://www.aare.edu.au/02pap/sor02045.htm
Irfan Naufal Umar, & Noor Hazita Ahmad. (2010). Trainee teachers’ critical thinking in an
online discussion forum: A content analysis. Malaysian Journal of Learning And Instruction , 7, 75-91.
Jabatan Pelajaran Negeri, Pulau Pinang (2009). Dicapai daripada http://www.jpnpenang.edu.my
Johan Savaranamuttu. (1992). Transformasi perhubungan etnik di Malaysia. Capaian daripada
http://www.usm.my/ipptn/v2/ documents/monographsIPPTN Kementerian Pelajaran Malaysia (1996). Dicapai daripada www. mohe.gov.my
Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities.
            Educational and Psychological Measurement, 30(3), 607-610.
Lingard, B. (2007). Pedagogies of indifferences. International Journal of Inclusive Education, 11,  
 245-266.
Lingard, B. (2006). Globalisation, the research imagination and deparochialising the study of  
            education. Globalisation, Societies and Education,4(2),287–302.
Lingard, B. & Ladwig, J. (2001). School Reform Longitudinal Study : Final report, Vol. 1,
            Report prepared for Educational


RUJUKAN TAMBAHAN

Nizamudin Zainuddin, Badruddin A. Rahman, Abu Bakar Hamed, Thi Lip Sam, Azraian Nasrah
Mustapa, Nazlina Zakaria, Norita Deraman, Norzalila Jamaludin, Shamsul Huda Abd Rani dan Suhaila Abdul Hanan. (2010). Penyelidikan Saintifik : Asas dan Aplikasi. Mc Graw Hill. Kuala Lumpur

Saad Md Yasin, Baktiar Mansor, Abdul Rashid Johar, Mohd Kidin Shahran, Abdul Razak Habib,
Alias Mohd Yatim, David Lim dan Nor Azizah Salleh. (2010). Research Methodology In Educational Administration. Open University Malaysia.

Mohd Othman bin Yussoff.(1996 ) Komitment Terhadap Organisasi di Kalangan Guru-guru
            Sekolah Menengah. Universiti Utara Malaysia


 

 *** CATATAN :
Hanya sekadar Contoh ulasan artikel. Mohon Maaf atas sebarang kekurangan
google saja artikel asal yer ... selamat maju jaya :))











.

No comments:

Post a Comment