Tuesday, 16 December 2014

Keistimewaan Bersedekah



 
APA DIKATAKAN BERSEDEKAH
Makna bersedekah adalah sangat luas berbeza dengan apa yang kita fahami menurut kebiasaan iaitu memberi seseorang wang atau makanan atau pakaian. Sebenarnya apa yang kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. ia amat luas mencakupi apa sahaja bantuan, pertolongan dan sesuatu yang mengembiranya atau yang kita berikan kepada saudara mara, rakan taulan atau sesiapa sahaja, sehinggakan senyuman yang mengembirakan orang lain pun dianggap sedekah. Ini boleh kita fahami daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang berikut.
Allah Mengurniakan Sesuatu Kepada Kita Untuk Disedekahkan.

Nabi telah menyatakan bahawa Allah telah mengurniakan sesuatu yang membolehkan seseorang untuk bersedekah seperti yang terdapat dalam hadis berikut: Segolongan orang miskin di kalangan sahabat telah mendatangi Baginda lalu bertanya: “Ya Rasulullah, orang kaya telah menguasai segala pahala kebaikan, mereka sembahyang, puasa seperti yang kami lakukan. Malah mereka mampu pula bersedekah dengan kelebihan harta mereka sedangkan kami tidak boleh?” Jawab Baginda: Tidakkah Allah telah membuatkan untuk kamu semua itu sesuatu yang kamu boleh sedekahkan. (Riwayat Muslim)

Melepaskan Hutang Adalah Sedekah.
Ini berdasarkan Firman Allah s.w.t.: “Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan jika kamu menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (pahalanya).: (Al-Baqarah: 280)
Menyuruh Ma’ruf dan Mencegah Kemungkaran Adalah Sedekah.

Sabda Nabi s.a.w.: [Mafhumnya] Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah.” Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi s.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain, ada dinyatakan bahawa membuat sesuatu yang baik itu adalah sedekah: “Setiap melakukan perkara yang baik itu adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bersedekah Membawa Keberkatan Dan Kemuliaan

Rasulullah s.a.w. Bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” H.R. Muslim
Dalam hidup kita seharian ini, setiap langkah yang kita melangkah mungkin berupa sedekah. Contohnya melangkah ke masjid, iaitu setiap langkah akan menghapuskan dosa dan meningkatkan darjat seseorang di sisi Allah. Banyak lagi kategori bersedekah yang diterima sebagai ibadat tanpa kita sedari. Berikut ini akan dinyatakan apakah yang dikatakan sedekah.

Banyak Cara Untuk Bersedekah

Dari Abu Dzar r.a. katanya: “Beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. pernah berkata kepada beliau,: “Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.” H.R. Bukhari

Pemberian Allah Kepada Kita Adalah Menurut Sebanyak Mana yang Kita Beri Kepada Orang Miskin

Allah s.w.t. berfirman dalam sebuah hadis qudsi: “Wahai manusia, perbendaharaan-Ku tidak akan habis selama-lamanya. Sebanyak mana engkau memberi, sebanyak itulah yang Ku-beri untukmu; sejauh mana engkau tahan, sejauh itulah pula yang Ku-tahan daripadamu. Kekikiranmu memberi bantuan kepada orang-orang miskin daripada harta yang Ku-Kurniakan kepadamu, adalah kerana engkau berburuk sangka terhadap-Ku dan kerana engkau takut menjadi miskin atau kerana engkau tidak percaya kepada-Ku.”
“Kerana, sesungguhnya Ku-jadikan engkau sejak semula mempunyai keinginan yang besar akan harta. Kerana itulah Aku telah memberimu harta. Sekarang, patutlah engkau tidak kikir dan bakhil membagikan hartamu itu kepada hamba-hamba-Ku; Aku telah pun menjamin gantinya, dan menjanjikan balasannya.” Hadis Qudsi, Imam al-Ghazali, Nasihat dan Bimbingan. Tahqiq: Dr. Abdul Hamid Salil Hamdan
Berbelanja untuk Keluarga Adalah Paling Besar Pahalanya
Bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah untuk anak-anak akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah s.w.t. Bahkan dikira suatu dosa besar sekiranya seorang suami atau ketua keluarga itu enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu berbuat demikian. Nafkah adalah lebih daripada hanya peruntukan makanan bahkan yang dimaksudkan dengan nafkah adalah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pendidikan dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan seseorang anggota keluarga. Keluarga yang bahagia akan terbentuk sekiranya setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Keberkatan jua akan melimpah sekiranya setiap tanggungjawab itu dilakukan dengan mengambilkira kedudukan halal dan haramnya. Tidak semata-mata ingin mengecap kesenangan dengan jalan yang mudah sehingga akhirnya membawa padah kepada keluarga dan merosakkan rumahtangga.


Memberi nafkah kepada keluarga adalah perkara yang paling besar manfaatnya berbanding memerdekakan hamba atau sedekah kepada fakir miskin. Untuk membolehkan kita memberi nafkah, kita terlebih dulu perlu mempunyai sesuatu untuk disedekahkan. Ringkasnya kita perlu mempunyai sumber pendapatan atau kekayaan untuk disedekahkan.  
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya: “Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu” H.R. Muslim

Tasbih adalah Sedekah, Takbir adalah Sedekah, Tahmid adalah Sedekah, Tahlil adalah Sedekah.

Dalam satu riwayat,  Rasullullah s.a.w.  bersabda yang maksudnya: “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment