Tuesday, 16 December 2014

CONTOH ULASAN ARTIKEL 2



OLEH :
NOR ASIAH IBRAHIM SHAH
    MOHD OTHMAN YUSSOFF

KEUPAYAAN GURU PELATIH TERHADAP PELAKSANAAN AKTIVITI SEMASA LATIHAN MENGAJAR DALAM PEMBENTUKAN GURU NOVIS

1.0  PENGENALAN

Artikel  yang dihasilkan oleh tiga orang penulis iaitu Abdul Rasid Jamian, Nurul Nadiah Razali dan Shamsudin Othman yang dipetik dalam Jurnal Pendidikan Malaysia 40 (1)(2015) : 75 – 81 merupakan satu kajian sainstifik berasaskan gabungan “mixed-methods”  dengan kaedah kuantitatif (Statistical Package for Social Sciences atau SPSS)  Versi 18.0 dan kaedah kualitatif.  Kenyataan ini bertepatan dengan pengakuan para penulis sendiri yang mengatakan kajian mereka berbentuk “deskriptif-korelasi” (hal : 76).

Dalam kajian ini para penulis atau penyelidik cuba mengenalpasti  sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi guru pelatih terhadap latihan mengajar dan kesukaran melaksanakannya semasa menjalani latihan mengajar dalam usaha membentuk guru novis yang dirangkumkan dalam tiga objektif utama iaitu: (1) mengenalpasti persepsi dalam melaksanakan latihan mengajar (2) mengenalpasti aras kesukaran yang dialami semasa menjalani latihan mengajar; dan (3) mengkaji sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi guru pelatih terhadap latihan mengajar dengan aktiviti yang kerap dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Kajian ini melibatkan 173 orang guru pelatih dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada sejumlah 430 orang guru yang menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah menengah di negeri Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan yang  telah dipilih sebagai sebagai sampel. Untuk memastikan setiap guru pelatih daripada setiap bidang dipilih, para penyelidik didapati telah menggunakan teknik persampelan kelompok, di mana sebanyak 50 peratus guru pelatih  daripada setiap bidang dipilih secara rawak mudah, berasaskan Jadual Penentuan Sampel Krecjie dan Morgan, (1971).

Para pengkaji didapati telah menggunakan dua kaedah utama dalam menganalisis perisian SPSS Versi 18 iaitu:

(i)            Kaedah Ujian-t untuk melihat perbezaan dalam setiap pembolehubah
(ii)          dan Ujian Korelasi Pearson (pengaruh nilai “r”) dalam mengenalpasti hubungan antara pembolehubah.

Di samping itu, saya juga mendapati pendekatan asas stastistik telah digunakan untuk mengupas data deskriptif seperti peratus, frekuensi (taburan kekerapan), min, dan sisihan piawai.

Hasil pembacaan artikel ini secara keseluruhan menunjukkan penulisan artikel ini amat mudah  difahami pembacaannya walaupun bercorak ilmiah dan akademik, Saya mendapati para penyelidik  telah dapat memberikan pendedahan berkesan  kepada  Kementerian Pendidikan Malaysia dan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM  bahawa guru-guru pelatih mempunyai persepsi positif terhadap latihan mengajar dan tidak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti semasa latihan mengajar. Hal ini merupakan satu situasi yang amat memberansangkan dalam usaha kita melahirkan guru-guru novis yang bermutu dan akan mendidik anak bangsa pada masa hadapan.

2.0  PERBINCANGAN

Dalam usaha untuk memperkenalkan kajian mereka mengenai keupayaan guru pelatih terhadap pelaksanaan aktiviti semasa latihan mengajar dalam pembentukan guru novis, pengkaji-pengkaji yang tersebut telah menggunakan pelbagai pendekatan dan isu-isu “sorotan literatur” pengkaji terdahulu untuk merealisasikan dengan objektif dan persoalan kajian mereka. Antaranya ialah:

(i)            kepimpinan dan sikap guru (Mohd Khairuddin dan Halimah, 2014)
(ii)          pengalaman mengajar guru pelatih  (Booth.et. al., 1998; Atara dan Denis, 2003).
(iii)         faktor persekitaran bilik darjah dan ruang pembelajaran (Booth.et. al., 1998).
(iv)         ciri-ciri kualiti guru (Hazni dan Nordin, 2010)
(v)          sifat dedikasi (Syed Ismail, 2013)
(vi)         alat bantu mengajar (ABM) (Chew dan Rusdaini, 2013) dan
(vii)        teknik bercerita (Zuraini dan Abdul Rasid, 2014)

Implikasi huraian “sorotan literatur”  pengkaji lain yang diolah secara menarik mengikut urutan dan kesinambungan, berdasarkan isu-isu (i), (ii), (iii), (iv) (v), (vi) dan (vii) ini, para penulis jurnal ini secara tidak langsung telah mengajak para pembaca untuk menyoroti dan menghayati kajian mereka iaitu dalam menjelaskan persepsi guru pelatih dalam melaksanakan aktiviti semasa latihan mengajar dan mengenal pasti sama ada mereka menghadapi kesukaran dalam melakukan aktiviti tersebut dalam usaha membentuk guru novis yang akan melatari dunia pendidikan. Di samping itu, penggunaan “Ujian Korelasi Pearson” dan “Ujian-t/t-test”  dari segi hubungan dan perbezaan persepsi guru pelatih dengan beberapa pembolehubah lain seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP)  dan kesukaran pelaksanaan aktiviti, membuktikan kesungguhan dan komitmen para penulis jurnal ini sebagai “pengkaji ilmiah” dan bukannya kajian secara “tangkap muat” sahaja.


3.0  KEKUATAN DAN KELEMAHAN

3.1  Penyusunan Olahan Kandungan Jurnal

Para penyelidik telah berjaya menyusun dan membina penyelidikan asas sainstifik yang bersifat penyelidikan asas atau “mini thesis” yang relevan dengan kajian ini seperti dimulai dengan halaman abstrak (hal : 75), pengenalan (hal : 76), objektif kajian (hal : 76), persoalan kajian (hal : 76), metodologi  (hal : 76 - 77) yang dipecahkan kepada elemen kecil iaitu reka bentuk kajian, instrumen, pengumpulan data dan analisis data, dapatan kajian (hal : 77 - 79), perbincangan dan cadangan (hal : 79 – 80). Bahagian perbincangan diperincikan secara khusus melalui perbincangan beberapa pembolehubah seperti pembolehubah persepsi guru pelatih terhadap latihan mengajar, pembolehubah aktiviti guru pelatih semasa latihan mengajar serta perbincangan pembolehubah hubungan persepsi terhadap latihan mengajar dengan pembolehubah kesukaran melakukan aktiviti semasa latihan mengajar. Jurnal ini seperti kebiasaan jurnal-jurnal atau kajian ilmiah yang lain sudah semestinya akan diakhiri dengan rujukan kajian (hal : 80). Ini merupakan kerangka yang “standard”  atau memenuhi syarat piawai sesebuah tesis atau jurnal yang dikehendaki dalam kesemua institusi pengajian tinggi.

Kebiasaan kekuatan kandungan sesuatu jurnal ini  adalah bergantung kepada objektif dan persoalan yang ingin dikaji kerana kedua-duanya merupakan kerangka utama sesebuah jurnal yang ingin dihasilkan. Saya mendapati para penulis telah berjaya menyusun dengan tertib kedua-dua elemen tersebut seperti susunan nombor 1, 2 dan 3 yang sama bagi objektif dan persoalan. Begitu juga frasa ayat “mengenalpasti” dan “mengkaji” untuk objektif kajian, serta frasa ayat “adakah” untuk persoalan kajian sememangnya tepat dan jitu.

Tetapi terdapat sedikit kelemahan objektif kajian ke 2 iaitu frasa “mengetahui” agak kurang sesuai dan bersifat umum yang sepatutnya digantikan dengan frasa “mengenalpasti”, “mengkaji” atau “menganalisis”. Perkara ini amat penting supaya objektif kajian itu bersifat spesifik atau lebih khusus.

3.2 Metodologi Kajian

Kajian sainstifik berasaskan gabungan “mixed-methods” iaitu deskriptif-korelasi, gabungan  dengan kaedah kuantitatif (Statistical Package for Social Sciences atau SPSS) dan kaedah kualitatif iaitu dengan teknik  menggunakan soal selidik, rujukan bahan perpustakaan dan rujukan laman sesawang merupakan satu pendekatan yang tepat dalam kajian yang bersifat ilmiah. Kaedah statistik SPSS seperti Analisis Korelasi Pearson untuk mengenalpasti hubungan pembolehubah persepsi terhadap latihan mengajar dengan pembolehubah kekerapan berlaku dan pembolehubah kesukaran mengatasi merupakan suatu analisis yang tepat dalam kaedah statistik.

Penggunaan skala Likert dengan skala 1 hingga 5 dalam pembinaan item persepsi guru pelatih, skala 1 hingga 3 untuk mengukur aktiviti yang dijalan semasa latihan serta skala 1 hingga 4 untuk pembolehubah kesukaran melakukan aktiviti  merupakan pendekatan yang bersesuaian dengan kajian. Begitu juga penggunaan ‘pilot test” atau Ujian Rintis Cronbach Alpa untuk melihat kebolehpercayaan instrumen (soal selidik) ke tiga-tiga pembolehubah  dalam ujian rintis  sememangnya dimestikan sebelum membuat kajian dalam lapangan sebenar. Dapatan para penyelidik melalui pelaksanaan ujian rintis Cronbach Alpa ke tiga-tiga pembolehubah iaitu persepsi guru pelatih terhadap latihan (0.89), aktiviti semasa latihan mengajar (0.87) dan kesukaran dalam melaksanakan aktiviti (0.86) menunjukkan kebolehpercayaan pembinaan yang tinggi dan kuat konsintensinya.
Dalam kaedah metodologi kajian pelaksanaan pekali kebolehpercayaan instrumen ini yang ditentukan melalui Cronbach Alpha semestinya dilaksanakan atas dua prinsip asas yang diakui sendiri oleh  para penulis sendiri iaitu :

(i)            Instrumen untuk mengukur persepsi guru pelatih terhadap latihan mengajar, aktiviti yang dilaksanakan semasa latihan mengajar, dan kesukaran melaksanakannya “telah dibentuk oleh penyelidik sendiri” (Sila lihat bahagian Instrumen perenggan ke 4, halaman 77).
(ii)          Instrumen berkenaan telah diserahkan kepada panel pakar yang terdiri daripada guru dan pensyarah untuk menentukan kesahan kandungan. Komen yang diberikan oleh panel pakar telah digunakan untuk membaiki item dalam instrumen-instrumen berkenaan.

Prinsip (i) dan (ii) yang dibentangkan oleh para penulis ini menunjukkan kesemua item yang digunakan merupakan item-item yang pertama kali digunakan dalam kajian mereka. Oleh sebab itu, langkah menggunakan ujian  Cronbach Alpha merupakan langkah yang tepat untuk menguji kebolehpercayaan dan kesahan yang ingin dikaji.

Kelemahan kajian ini ialah kekaburan pengukuran dan penilaian kaedah statistik amat kabur apabila para penyelidik tidak menjelaskan apa tujuan mereka mengunakan Ujian-t (T-test) walaupun  dalam aspek analisis data (hal : 77) menyatakan Ujian-t digunakan untuk mengenalpasti perbezaan pembolehubah. Keraguan di sini apakah pembolehubah itu ? sedangkan dalam banyak kajian penyelidikan Ujian-t seringkali dikaitkan dengan pembolehubah demografi seperti jantina, skala ya – tidak, bandar – luar bandar,  dan sebagainya. Malah pembacaan secara keseluruhan tidak menunjukkan Ujian-t digunakan dalam jurnal ini.

Selain itu kelemahan metodologi yang nyata ialah ketiadaan pembinaan kerangka konseptual atau reka bentuk kajian antara ketiga-tiga pembolehubah iaitu persepsi guru pelatih terhadap latihan, pembolehubah kekerapan aktiviti semasa latihan mengajar dan pembolehubah kesukaran dalam melaksanakan aktiviti. Para pengkaji sepatutnya membina kerangka konseptual atau reka bentuk kajian seperti berikut (Jadual 1.1):
 

Selain itu para pengkaji dalam jurnal ini dengan jelas telah alpa dan tidak dapat mengenalpasti  dalam mentafsirkan pembolehubah-pembolehubah kajian mereka sama ada  ianya pembolehubah tidak bersandar (independent variable) atau pembolehubah bersandar (dependent variable) seperti yang saya tunjukkan dalam kerangka konseptual di atas.  Huraian penyelidikan jurnal sepatutnya meletakkan persepsi  guru pelatih terhadap latihan sebagai pembolehubah bersandar, manakala pembolehubah aktiviti semasa latiham mengajar dan kesukaran dalam melaksanakan aktiviti sebagai pembolehubah tidak bersandar (Jadual 1.1).


3.3 Dapatan Kajian

Dalam kajian jurnal ini kaedah-kaedah stastistik SPSS telah digunakan untuk menganalisis data seperti Korelasi Pearson dan Ujian-t. Para penyelidik telah mendapati terdapat hubungan negatif  yang signifikan (p < 0.05) antara pembolehubah persepsi terhadap latihan mengajar dengan kesukaran melakukan aktiviti yang dinyatakan (r = - 0.178). Hubungan ini menunjukkan jika responden mempunyai persepsi yang positif terhadap latihan mengajar, maka mereka mudah untuk melakukan aktiviti semasa latihan mengajar. Begitulah keadaan sebaliknya berlaku jika mereka mempunyai persepsi negatif terhadap latihan mengajar, mereka akan merasai kesukaran untuk melakukan aktiviti semasa latihan mengajar. Walau bagaimanapun, dapatan menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi terhadap latihan mengajar dan kekerapan melakukan aktiviti semasa latihan mengajar (p > 0.05). Lihat Jadual 1.2

Jadual 1.2 :  Hubungan Antara Pembolehubah (Jadual diubahsuai semula – hal : 79)

Pembolehubah
Persepsi Terhadap Latihan Mengajar

Kekerapan Berlaku
r

  0.14

Kesukaran Mengatasi


                     -0.178*
              N = 173      (*) signifikan p < 0.05

Kelemahan ketara kajian ini ialah di manakah dapatan kajian Ujian-t (T-test) digunakan sepertimana yang dinyatakan dalam analisis data (perenggan 6 dan 7) pada halaman 77.  Keseluruhan jurnal ini tidak menunjukkan untuk apa tujuan Ujian-t digunakan, apakah kaitannya dengan pembolehubah. Apakah ketiga-tiga penyelidik terlupa untuk mengkajinya?. Kesalahan dan kealpaan ini sepatutnya tidak berlaku dalam penghasilan jurnal atau bahan ilmiah yang mungkin menjejaskan imej para penyelidik sendiri dalam kerjaya mereka. Ini juga menimbulkkan masalah kebolehpercayaan dan integriti penulisan mereka.

Begitu juga penggunaan min, frekuensi (kekerapan), sisihan piawai dan peratus dalam dapatan kajian (hal. 77 – 78) bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana min, frekuensi, sisihan piawai dan peratus merupakan perkara asas dalam statistik. Contohnya penggunaan peratus mungkin sesuai untuk melaporkan jumlah responden yang dikaji (seperti hal. 77). Penggunaan min  dan frekuensi ke atas pembolehubah hanya menggambarkan tahap skala Likert iaitu sama tahap tinggi, sederhana atau rendah tahap purata (min) serta kekerapan (frekuensi) sesuatu pembolehubah yang dikaji (seperti hal. 78).
          
Selanjutnya, analisis stastistik para pengkaji   mengenai skor min pembolehubah aktiviti “kekerapan berlaku” dan “kesukaran mengatasi” sepatutnya lebih menarik sekiranya diseimbangkan dengan skala Likert yang sama nisbahnya atau “rank” yang sama. Keralatan ini menyebabkan perbandingan min kedua-dua pembolehubah tidak seimbang kerana pembolehubah aktiviti “kekerapan berlaku” menggunakan skala Likert 1 hingga 3, sedangkan pembolehubah aktiviti “kesukaran mengatasi” menggunakan skala Likert 1 hingga 4. Oleh sebab itu, saya berpendapat sekiranya kedua-dua pembolehubah diseimbangkan/disamakan skalanya sama ada skala 1 hingga 3 atau skala 1 hingga 4, dapatan min kajian akan lebih mudah dibaca dan berkemungkinan juga akan mengubah tahap signifikan analisis Korelasi Pearson yang diuji ke atas pembolehubah “persepsi guru pelatih terhadap latihan mengajar” dan bukannya seoerti mana yang dipaparkan melalui Jadual 1.2.

4.0  KESIMPULAN

Secara keseluruhanya, para pengkaji telah berjaya mengenalpasti dapatan kajian mereka iaitu tidak terdapat perbezaan signifikan (p > 0.05) di antara pembolehubah pedagogi dimensi produktif (kualiti intelektual, keberkaitan/hubung kait, persekitaran bilik darjah dan menghargai.menangani perbezaan) dalam mata pelajaran Sains di sekolah menengah dengan pembolehubah demografi iaitu jantina, pengalaman mengajar Sians, bangsa/etnik, dan mata pelajaran. Kaedah Ujian-t (T-test), Analisis Varian Sehala (ANOVA), skala Likert dan analisis taburan min merupakan pilihan tepat bagi kajian tersebut walaupun boleh diperbagaikan dengan kajian lain seperti Korelasi Pearson dan Regresi Berganda.untuk pembolehubah pedagogi produktif.

Walaupun begitu, adalah didapati kaedah temubual berstruktur (kaedah kualitatif) hendaklah diperluaskan sampel atau respondennya kerana jumlahnya yang kecil berbanding populasinya yang sebenar para guru di sekolah menengah. Malah sekiranya kaedah kualitatif tidak digunakan dalam kajian ini ianya tidak mencacatkan kajian ini kerana kaedah kuantitatif telah berupaya mengenalpasti dapatan kajian yang dikehendaki.



 ****CATATAN
Sekadar contoh sahaja. Maaf jika terdapat sebarang kekurangan dan kesilapan. 
artikel berkenaan yang diulas boleh digoogle saja yer... selamat maju jaya :))

No comments:

Post a Comment