Pendidikan Al Quran Membina Potensi Berfikir
Al Quran merupakan sumber segala ilmu pengetahuan.
Hal terbaik yang dapat dilihat daripada kitab suci ini ialah dorongannya kepada
manusia supaya berfikir. Di dalam Al Quran tidak terdapat suatu hukum yang
bersifat melumpuhkan akal manusia untuk memikirkan kandungan maknanya dan tiada
sesuatu perkara pun yang merintangi akal untuk mencari pelbagai ilmu yang
bersifat luas. Maksudnya, Al Quran tidak melarang mereka mencari ilmu dan berfikir,
asalkan masih dalam ruang lingkup kebenaran seperti kata ungkapan “buat apa
sahaja selagi benar”, bahkan Al Quran menggesa manusia berfikir dan mencari
ilmu pengetahuan. Ia menjamin cara berfikir yang sihat dan pandangan yang benar
terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang diciptakanNya sebagai saranan
kepada manusia agar beriman kepadanya. Berfikir adalah suatu perkara yang amat
diperlukan bagi memahami semua bentuk peringatan, sebagaimana firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku hanyalah
mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu
bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama
ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian
hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya
ajaranKu”
(Surah Saba’,34: 46)
Kedudukan
Akal Dalam Al Quran
Dalam Al Quran perkataan akal diulang sebanyak 49
kali. Kebanyakan perkataan ini diungkapkan dalam bentuk perbuatan, iaitu fi’il mudhari’. Terutamanya perkataan
yang bersambung dengan waw jama’a, seperti
ta’qilun (تعقلون) atau ya’qilun (يعقلون) bererti
mereka itu berfikir. Kata kerja ta’qilun
(تعقلون ( berulang sebanyak 24 kali dan
kata kerja ya’qilun (يعقلون ( berulang sebanyak 22 kali. Sementara kata
kerja ‘aqala (عقل), na’qilu (نعقل) dan ya’qilu (يعقل) masing-masing disebut sekali. Dalam struktur bahasa
Arab ungkapan dalam bentuk fi’il mudhari’, membawa maksud selalu
menggunakan akal dan berfikir. Malahan Al Quran sering merangsang manusia
supaya menggunakan akal dan berfikir, dengan penggunaan bentuk prasa istifham inkari atau penyataan negatif
yang bertujuan memberi dorongan dan membangkitkan semangat berfikir. Pernyataan
begini diulang sebanyak 13 kali alam Al Quran, mengikut konteks yang berbeza.
Misalnya firman Allah SWT kepada Bani Israel dan maksudnya :
“Mengapa
kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu
(kewajipan) sendiri, pada hal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah
kamu berfikir?”.
(Al
Baqarah, 1: 44)
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman dan maksudnya:
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari
main-main dan gurau senda belaka. Dan kampung akhirat itu lebih baik bagi
orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?.
(Al An’am, 6: 32)
Selain itu Al Quran memberi perhargaan yang tinggi
terhadap orang yang berakal, berfikiran dan berilmu pengetahuan, dengan terma ulul al bab atau ulil al bab, diulang
sebutan sebanyajk 16 kali dalam Al Quran. Sembilan daripadanya dalam
surah-surah Makiyyah dan tujuh dalam
surah Madaniyyah. Ulul al bab dapat
diertikan sebagai orang yang berakal atau orang yang mempunyai hati, iaitu
orang yang mempunyai hikmah dan kebijaksanaan, yang terdiri daripada para ulama,
kaum cendikiawan atau intelektual, yang menggunakan hati dan akal untuk memerhati
dan memikirkan semua kejadian alam ini. Firman Allah SWT:
“……dan orang
yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat,
semuanya itu dari sisi Tuhan kami. Dan tidak mengambil pelajaran (daripadanya)
melainkan orang yang berakal.”
(Al Imran, 3: 7)
Al Quran mendorong akal manusia supaya memerhati
dan memikirkan kejadian Allah SWT tentang alam semesta, seperti penciptaan
langit dan bumi, peredaran malam dan siang yang dapat dijadikan bahan untuk
direnung, dikaji dan difikirkan oleh mereka yang mempunyai akal. Firman Allah
yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan
langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda
bagi orang yang berakal. Iaitu orang yang megingati Allah sambil berdiri atau
duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan
langit dan bumi (seraya berkata: “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan
ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa
neraka.
(Al Imran, 3: 190 – 191)
Menurut Dr. Yusuf Al Qaradhawi bahawa ulul al bab adalah dirujuk kepada kelompok orang yang berakal dan
dapat menangkap ‘ibrah atau mengambil iktibar, iaitu pengajaran dari
kisah-kisah sejarah dalam Al Quran, mereka dapat membaca, memerhati dan
mengambil perjalanan sejarah zaman silam. Kaum ulul al bab juga disebut sebagai kelompok orang yang mengetahui apa
yang Allah turunkan kepada RasulNya itu adalah benar dan tidak mengandungi
kebatilan sedikitpun. Al Quran telah menggambarkan kaum ulul al bab dengan sifat-sifat keutamaan akhlak mulia. Jadi Al
Quran mengaitkan kesempurnaan intelektual dan kesempurnaan akhlak pada kaum ulul al bab menerusi firmanNya yang
bermaksud:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu
terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah
cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya
dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang
beriman.”
( Surah Yusuf,
12: 111)
No comments:
Post a Comment