Manusia unggul adalah mereka yang
memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan
as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul,
seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh,
amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia
yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.
1. Keimanan Yang Kukuh
Keimanan kepada Allah swt adalah
paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu
yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi
kebaikan dunia dan akhirat. Allah swt berfirman dalam surah al-Asr:
“ Demi masa sesungguhnya manusia
itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang
berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengankesabaran”.
( Surah al-Asr : 1-3 )
dalam ayat ini Allah swt
menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal
salih. Beriman kepada Allah adalah proses peralihan
jiwa manusia daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang
kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi
tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan
keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang
kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina
jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan
kejahatan dan maksiat.
2. Pelaksanaan Amal Ibadat
Keimanan tanpa ketaatan melalui
amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar
jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan
jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat
kepada-Nya. Firm
an Allah swt :
“ Tidak Aku ciptakan jin dan
manusia itu melainkan
untuk beribadat”.
( Surah az-Zariat : 56 )
Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba
setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini
termasuklah ibadat khususiah yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah
yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia. Justeru itu, bagi individu
yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta
ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah swt berfirman:
“ Sesungguhnya beruntunglah
orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, orang
yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang
menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap
isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam
hal ini tiada tercela”.
( Surah al-Mukminun : 1-6 )
3. Akhlak Mulia
Akhlak mulia bagi peribadi unggul
adalah hasil keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan
hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan
disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang
diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai,
harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah saw adalah contoh utama
pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia”.
( Riwayat Ahmad )
Beberapa nilai yang baik dalam
akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:
a) Amanah
Amanah adalah sifat mulia yang
mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan
negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah swt:
“ Maka tunaikanlah oleh orang yang
diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya”.
( Surah al-Baqarah : 283 )
b) Ikhlas
Ikhlas adalah inti setiap ibadah
dan perbuatan. Firman Allah swt:
“ Padahal mereka tidak
diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat
kepada-Nya“.
( Surah al-Bayyinah : 5 )
Ikhlas akan menghasilkan kemenangan
dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan
dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan,
persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah saw yang
bermaksud,
“ Bahagialah dengan limpahan
kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak
dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah
pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang
zalim”.
( Riwayat Imam al-Baihaqi )
c) Tekun
Islam menggalakkkan umatnya supaya
tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sabda
Rasulullah saw,
“ Sesungguhnya Allah swt menyukai
apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun”.
( Riwayat Abu daud )
Sifat tekun akan meningkatkan
produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang
baik kepada masyarakat. Sebagai seorang pelajar tekun dalam menuntut ilmu amat
dituntut oleh Islam
d) Berdisiplin
Berdisiplin dalam menjalankan
sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara
untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi. Dengan
berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran
agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
e) Bersyukur
Bersyukur dalam konteks peribadi
unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama; sebagai tanda kerendahan hati
terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau
banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah swt
supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan. Allah swt berfirman:
“ Demi sesungguhnya jika kamu
bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu
kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.
( Surah Ibrahim : 7 )
f) Sabar
Di dalam menghadapi cabaran hidup,
kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki
Allah swt. Firman Allah swt :
“ Wahai orang-orang yang beriman,
bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara
kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan
bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta
bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya”.
(Surah Ali Imran : 200)
KESABARAN ITU BUKAN BERERTI TIADA PERASAAN TETAPI
KESABARAN ITU IALAH KESANGGUPAN KITA MENGENDALIKAN PERASAAN KETIKA
SEDIH/UJIAN/DUGAAN MENIMPA
g) Adil
Adil bermaksud meletakkan sesuatu
pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil
kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan,
pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
“Tiga perkara yang menyelamatkan
iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku
adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang;
dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil
dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri”.
(Riwayat Abu Syeikh)
No comments:
Post a Comment