Wednesday, 12 October 2016

KOMUNIKASI EFEKTIF : ANTARA IDEALIS DAN REALITI SERTA KAITAN DENGAN TEORI PELABURAN (SIDE BET) DAN TEORI PERTUKARAN





Mohd Othman Yussoff
Nor Asiah Ibrahim Shah



Dalam perbincangan selanjutnya kami ingin menjelaskan mengapa kami tidak mengkaji teori-teori lain yang sinonim dengan komunikasi seperti Teori Humanisme, Teori Konstruktvisme, Teori Operant Conditioning (Skinner) dan Teori Systematic Behavior  (Hull). Ini kerana kesemua teori ini hanya melihat aspek pembelajaran atau aspek pelajar sebagai insan sosial atau modal insan sedangkan aspek guru atau pendidik seolah-olah tidak dikupas atau diolah. Ini hanya menjadikan guru sebagai “robot” atau “mesin”  mengikut arahan pengurusan atasan semata-mata sedangkan menurut Parkinson dalam bukunya “A Litle Touch”, (dipetik daripada Md. Ismail Zamzam, 1989) pekerja atau subordinat  adalah manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Inilah yang dikatakan pertembungan antara “idealis” dengan realiti guru sebagai pendidik atau insan. Kenyataan ini mengajak kita berfikir jauh ke hadapan dan berfikir di luar kotak bukan sahaja masa hadapan anak bangsa iaitu para pelajar tetapi bagaimana kita hendak mengangkat martabat guru-guru atau para pendidik yang masih dianggap sebagai profesion atau kerjaya  kelas kedua.

Walaupun kedua-dua teori iaitu Teori Pelaburan (Side Bet) dan Teori Pertukaran yang akan dibincangkan ini lebih merujuk kepada komitmen para pekerja (termasuk guru) tetapi harus diingat, elemen komitmen adalah merupakan salah satu penyebab berlakunya komunikasi efektif, malah ketiadaan komitmen merupakan halangan dan gangguan kestabilan sesebuah organisasi termasuklah organisasi pendidikan.

Mengapa komunikasi efektif dan komitmen guru  penting merupakan suatu persoalan yang cukup sensasi. Negara kita seperti negara-negara lain, keperluan mewujudkan tenaga sumber manusia yang berdaya saing merupakan usaha yang perlu diberi perhatian di abad ini. Baik di sektor awam mahupun swasta, pembentukan modal insan berkualiti mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta  mengangkat martabat manusia minda kelas pertama dan bertaraf dunia.

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  yang  melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 yang memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) yang berupaya melahirkan generasi pemikiran kritikal dan kreatif yang mana implikasi akhirnya akan membawa modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke 21 agar negara mampu bersaing di persada dunia sudah tentu memerlukan kemahiran komunikasi yang efektif di kalangan para guru atau pendidik.


Pelbagai usaha pedagogi telah dilaksanakan di sekolah bagi mencapai matlamat tersebut khususnya yang memberi pemusatan kepada pelajar seperti kaedah diskusi kumpulan kecil, pembelajaran berasaskan masalah dan pembentangan hasil diskusi atau kajian dalam pengajaran dan pembelajaran membuktikan betapa pentingnya komunikasi efektif dalam pedagogi pendidikan.

Umumnya kita mengetahui pencapaian Malaysia dalam ujian antarabangsa Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dari tahun 2007 hingga 2011 amat menyedihkan kerana kita berada pada kedudukan satu pertiga terendah dunia. Malahan Thailand mengatasi kedudukan kita. Ini amat mengecewakan apabila kerajaan Malaysia membelanjakan bajet yang besar  malah jauh lebih tinggi daripada negara yang mengatasi kita dalam keputusan tersebut. Lebih mengecewakan juga, ini berlaku walhal nisbah guru - murid di Malaysia adalah yang tertinggi iaitu 1 :13 berbanding negara lain (Rosnani Hashim, 2013). Justeru, ia memberi kita petanda bahawa sistem pendidikan kita masih lemah dalam melengkapkan pelajar dalam kemahiran tersebut.

Persoalannya di sini adakah berlaku masalah atau halangan komunikasi efektif dalam sistem pendidikan kita? Adakah kekurangan komitmen para guru dalam pengajaran dan pembelajaran? Benarkah kerjaya keguruan merupakan kerjaya kelas kedua dalam negara kita?. Adakah punca masalah ini mempunyai kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai majikan dan guru-guru (pendidik) sebagai “subordinat”,  akan kami perincikan berdasarkan Teori Pelaburan (Side Bet) dan Teori Pertukaran.

Implikasi Teori Pelaburan (Side Bet) Ke atas Komunikasi Efektif

Teori pelaburan atau “side bet” yang dikemukakan oleh Howard Becker (1960), mengatakan bahawa jaminan pekerjaan, pencen, status, senioriti dan autoriti adalah antara pelaburan peribadi yang mengikat seseorang kepada organisasi. Persoalan ini menurut Becker menyebabkan seseorang itu membuat keputusan untuk komited dengan sesuatu profesion bukan kerana minat atau kemahuan awalnya tetapi lebih memikirkan sebab-sebab lain iaitu “side bet”(Yusoff Hanifah, 1981).  Becker menjelaskan lagi bahawa seseorang itu akan terus kekal dalam profesionnya dan tidak mahu bertukar kerja yang baru mungkin dihalang oleh pelaburan yang kompleks, kos-kos dan risiko kewangan yang mungkin bersangkutan dengan faedah-faedah pencen yang akan hilang akibat perpindahannya, kehilangan keselesaan dalam menjalankan tugas-tugas yang baru, kehilangan kesenangan dalam kehidupan domestik akibat perpindahan keluarga dan sebagainya.
Analogi yang paling mudah mengenai teori ini, sekiranya seseorang itu diberi peluang atau mempunyai kemahiran yang sama (pelaburan) untuk menjadi jurutera, peguam, doktor, arkitek berbanding menjadi guru (pendidik), adakah mereka akan memilih kerjaya guru sebagai kerjaya yang utama berbanding kerjaya lain,  sedangkan kerjaya lain itu (jurutera, peguam, doktor, arkitek) menjanjikan peluang pelaburan yang lebih lumayan dan menguntungkan dalam jangka masa panjang. Oleh sebab itu mahu tidak mahu dalam dunia pasaran yang berdaya saing, kerjaya guru tetap menjadi pilihan kedua atau pilihan akhir. Bukti ini amat jelas dilihat kerana ketidakstabilan atau ketidakseimbangan nisbah jantina guru dan gangguan (disequilibrium) dalam kerjaya guru yang lebih dimonopoli oleh kaum wanita berbanding kaum lelaki. Rintihan guru-guru mengenai kepuasan gaji, kurangnya penghargaan, beban kerja pengkeranian, keruntuhan disiplin pelajar, tekanan (stress), arahan bertindan lapis daripada pengurusan atasan (pengetua, PPD, Jabatan Pendidikan) merupakan bukti nyata berlakunya gangguan dan halangan komunikasi yang sentiasa menjadi topik utama dalam akhbar-akhbar tempatan.

Dalam aspek yang lain, berbalik kepada amalan komunikasi efektif para guru atau para pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran, adakah penumpuan mereka kepada kerjaya ini hanya berasaskan kepentingan “side bet”?, iaitu bimbang (terancam) akan kehilangan pekerjaan, pencen, status, senioriti dan autoriti  bukannya kerana minat dalam kerjaya pendidikan. Pendapat ini diakui oleh Allen dan Meyer (1984) yang mengatakan ancaman kepada kehilangan ini,  menyebabkan peningkatan komitmen terhadap organisasinya dan tidak akan menarik mereka untuk bekerja dalam organisasi lain selagi pelaburan  yang ditawarkan untuk bertukar kerja hanya bersifat sederhana atau tidak menguntungkan.


Implikasi Teori Pertukaran Ke atas Komunikasi Efektif

Teori ini merupakan proses timbal balik di mana matlamat organisasi dan matlamat individu menjadi semakin bersepadu atau kongruen (Mowday, Porter dan Steers, 1982; Steers, 1977). Teori ini melihat bagaimana sesebuah organisasi yang mahu menarik dan mengekalkan pekerja yang produktif telah menawarkan gaji, faedah dan penghargaan yang tertentu kepada pekerjanya. Sebaliknya bagi pihak pekerja pula, mereka merasakan bahawa kerja yang menarik dan ganjaran yang setimpal dengan penglibatan mereka merupakan satu keperluan yang perlu dipenuhi. Sebagai balasannya, berlakulah proses pertukaran di mana pekerja memberikan perkhidmatan mereka dan organisasi pula menyediakan imbuhan yang sepatutnya kepada pekerja (Mohd Othman, 1996). Lihat Jadual 1.1 di bawah:

Jadual 1.1 : Proses Pertukaran Antara Pekerja Dengan Organisasi


Matlamat

Proses Pertukaran


ORGANISASI


Menarik dan mengekalkan pekerja yang produktif

Memberi gaji, faedah, status dan penghargaan kepada pekerja


PEKERJA


Berkehendak kerja yang menarik dan ganjaran yang adil

Memberikan perkhidmatan dari segi masa, tenaga, pengetahuan dan kemahiran kreativiti kepada organisasi





Berdasarkan dapatan di atas sekiranya dilihat dalam aspek amalan komunikasi menjelaskan bahawa efektifnya amalan komunikasi seseorang pekerja atau guru akan berlaku atas pertukaran yang melibatkan keuntungan yang bakal diperolehi oleh mereka. Ia juga bermaksud guru atau pendidik yang memasuki kerjaya pendidikan akan komited dalam pengajaran dan pembelajaran  kerana menjangka sesebuah tempat kerja (sekolah atau institusi pendidikan) telah berjaya menyempunakan kehendak dan matlamat mereka dari segi tarikan kerja, penghargaan dan ganjaran. Oleh sebab itu sebagai balasan (pertukaran), mereka akan menyempurnakan tanggungjawab tersebut  dengan mencurah segala kemahiran, kehendak dan matlamat yang diperlukan dalam organisasi pendidikan termasuklah berkomunikasi secara efektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya, sekiranya organisasi tersebut (sekolah atau institusi pendidikan) gagal menyempurnakan tarikan kerja, penghargaan, ganjaran atau imbuhan yang setimpal dengan kehendak mereka, komitmen mereka akan merosot dan berkemungkinan beralih ke bidang kerjaya lain yang menjanjikan “pertukaran” yang lebih menguntungkan.

No comments:

Post a Comment