Tuesday, 16 December 2014

ISTERI BERMUSAFIR KE LUAR NEGARA TANPA DITEMANI SUAMI

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, saya ada pertanyaan, mengenai isteri musafir keluar negara untuk urusan kerja; Bolehkah isteri travel keluar negara utk urusan kerja tanpa suami menemaninya? terima kasih.

 Jawapan;

Para ulamak telah mensepakati bahawa diharamkan wanita keluar bermusafir dengan seorang diri -terutamanya musafir yang jauh-(1). Para ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan; mesti ditemani oleh suami atau mahramnya (yakni bapa, anak lelaki, saudara lelaki atau sebagainya). Mereka berdalilkan sabda Nabi saw;

لاَ تُسَافِرِ المَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
"Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1862, dari Ibnu 'Abbas RA).
 
لاَ يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ

"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir dengan jarak perjalanan sehari semalan tanpa ditemani mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1088, dari Abu Hurairah RA).
Menurut mazhab Syafiie dan Maliki; selain dengan suami dan mahram, diharuskan juga wanita keluar bermusafir bersama teman-terman yang dapat memastikan keselamatannya (rufqah makmunah) yang terdiri dari lelaki-lelaki yang dipercayai atau wanita-wanita yang dipercayai, namun untuk tujuan mengerjakan haji yang wajib sahaja, atau urusan-urusan lain yang wajib di sisi Syariat.(2) Ada ulamak mengharuskan keluar dengan bertemankan seorang sahaja wanita yang dipercayai, dengan syarat perjalanan adalah aman. Malah ada ulamak yang hanya mensyaratkan; perjalanan yang aman sahaja. Imam al-Mawardi berkata; di kalangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie) ada yang berkata; jika perjalanan adalah aman/selamat, tidak dikhuatiri berlaku percampuran dengan kaum lelaki bersamanya, harus dia (yakni wanita) keluar bermusafir tanpa ditemani mahram atau wanita yang dipercayai(3). Semua keharusan itu adalah bagi musafir untuk tujuan haji yang wajib (atau kewajipan-kewajipan syarie yang lain). Adapun untuk haji tatawwu' (yakni haji sunat) atau urusan-urusan yang mubah/harus (seperti berziarah, berniaga dan sebagainya), tidak harus keluar melainkan dengan ditemani mahram(4).
Beberapa ulamak semasa hari ini membuka keharusan tersebut kepada semua jenis musafir yang harus (tidak terhad kepada musafir haji dan urusan-urusan wajib syar'ie sahaja), melihat kepada perubahan zaman hari di mana perjalanan dapat ditempuh dengan lebih selamat walaupun amat jauh dan kenderaan juga lebih selamat (bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya).(5) Di antaranya ialah fatwa dari Darul Iftak Mesir (Institusi Fatwa Kerajaan Mesir) yang menegaskan; "Diharuskan bagi wanita untuk bermusafir tanpa ditemani mahram dengan syarat dia dapat memastikan keselamatan dirinya, agama serta kehormatannya di sepanjang perjalanan, di tempat perhentiannya dan juga semasa perjalanan pulang nanti...Dalam Soheh al-Bukhari (dan kitab-kitab hadis lainnya) diceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada 'Adiyy bin Hatim RA;

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ
"Jika kamu dikurniakan umur panjang, nescaya kamu akan dapat menyaksikan seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (*di Kufah, Iraq hari ini) menuju (ke Mekah) hingga bertawaf mengilingi Kaabah tanpa takut kepada sesiapapun kecuali Allah" (Soheh al-Bukhari; 3595).

Lafaznya dalam Musnad Imam Ahmad;

فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَيُتِمَّنَّ اللهُ هَذَا الْأَمْرَ، حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ
"Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (menuju ke Mekah) hingga dapat bertawaf di Baitullah tanpa ditemani (dalam musafirnya itu) oleh sesiapapun" (Musnad Ahmad; 18260).

Berdasarkan hadis ini segolongan fuqahak mujtahidin telah memfatwakan bahawa; harus wanita bermusafir seorang diri jika ia selamat (dalam perjalanannya). Adapun hadis-hadis yang lain yang melarang wanita bermusafir berseorangan tanpa ditemani mahramnya ia khusus kepada keadaan ketika tidak wujudnya keamanan (bagi wanita), di mana pada zaman-zaman dahulu, apabila wanita keluar berseorangan tanpa ditemani mahram ia pasti akan terdedah kepada  bahaya....Maka fatwa (yang bersesuaian dengan situasi hari ini) ialah; musafir wanita secara berseorangan (tanpa ditemani mahramnya) -dengan menggunakan alat-alat pengangkutan yang selamat dan melalui jalan-jalan yang telah tersedia- bertolak dari pelabuhan atau lapangan terbang serta stesyen-stesyen kenderaan awam, musafir tersebut adalah harus di sisi Syarak dan tidak dilarang, sama ada ianya musafir yang wajib, sunat atau harus. Hadis-hadis yang menegah wanita bermusafir tanpa mahram hendaklah difahami bagi keadaan ketika tidak wujudnya keamanan/keselamatan (bagi wanita), maka ketika wujudnya keamaaan secara sempurna, tidak ada lagi tegahan untuk ia bermusafir dari asalnya"(5).

Untuk panduan lebih jelas, dibawah ini diperturunkan syarat-syarat yang digariskan oleh Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi (Setiausaha Kesatuan Ulamak Islam Sedunia) untuk mengharuskan wanita bermusafir tanpa ditemani mahram;
1. Hendaklah musafir itu dipastikan selamat untuk diri wanita itu sendiri. Syarat ini merupakan syarat paling asas.
2. Sebolehnya tidak menyebabkan perlu bermalam di perjalanan (transit) -di hotel atau sebagainya -kerana boleh mengundang fitnah bagi wanita-, kecuali jika situasinya bersesuaian, dengan syarat dia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang- dan selamat dari fitnah.
3. Hendaklah mempunyai tempat tinggal yang selamat di negeri tempat tujunya.
4. Hendaklah mendapat keizinan dari suami (bagi wanita yang telah berkahwin) atau dari walinya (jika belum berkahwin).
5. Hendaklah sepanjang perjalanan itu ia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang wanita-.(6)


Wallahu a'lam.

Nota/rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan; safar)
2. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan; rufqah, safar).
3. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
4. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
5. Dr. Mustafa az-Zarqa' (lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa', hlm. 276), Dr. 'Ali al-Qurrah ad-Daghi (lihat fatwa beliau dalam laman web beliau; http://www.qaradaghi.com), Syeikh Muhsin al-'Abikan (ulamak Arab Saudi) dan ramai lagi.
5. Laman Darul-Iftak, Mesir (http://www.dar-alifta.org), fatwa bertarikh; 9/7/2012, no. fatwa; 4480.
6. Laman web beliau (http://www.qaradaghi.com), fatawa jadidah (fatwa-fatwa semasa), bertarikh; 16/5/2010.

No comments:

Post a Comment