Saturday, 22 November 2014

JUJURLAH ANAKKU KERANA SYURGA ITU ADA…

Anakku,

Kerapkali kali kalau kita jujur, kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Walau begitu sukar untuk mendapatnya tetapi jangan sesekali-kali kau korbankan jalan yang benar hanya untuk mencapai kemenangan. Biar kalah jangan salah. Percayalah, kemenagan tanpa kebenaran tetap tetap satu kekalahan di sisi Allah.

Paling teruji apabila kau melihat orang lain yang mengikut lorong salah lalu dia cepat sampai, sedangkan kau dilorong yang betul masih lelah menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegambiraan itu. Dan hampir-hampir kita melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Namun anakku, percayalah akhirat itu ada. Ada lagi ketawa di sana. Dan percayalah ”one who laugh last, laugh the best” – ketawa paling akhir (di syurga) adalah ketawa yang paling baik. Beringat-ingatlah, sesiapa yang ketawa dalam membuat dosa ketika di dunia akan masuk ke neraka dalam keadaan menangis.

Anakku,

Aku ingin mengingatkan bahawa acapkali duri berselindung di sebalik bunga…lalu kita yang tercium keharumannya sering alpa akan tusukan bias di sebaliknya. Sudah lumrah dunia, huluran tangan yang ikhlas dan lembut kadang-kadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati yang paling tajam. Tetapi jangan kau gusar.Kekalkam kejujuranmu walaupun terpaksa terkorban. Asalkan sahaja kejujuran itu diiringi satu kebijaksanaan.

Ingatlah hakikat ini, bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama di dunia bertakhta akan terhenyak dan mendapat pembalasan. Jangan gopoh untuk menang. Lihatlah betapa lamanya doa NAbi Musa dimakbulkan. Kenangkan pula betapa lama perjuangan Nabi Ibrahim dimenangkan. Paling nespataapabila nasib Yasir dan Sumaiyah yang terpaksa terkorban tanpa merasai nikmat kemenangan. Sama pula nasib seperti Asiah yang dibunuh oleh Firaun laknatullah.

Apa pinta Asiah menjelang kematiannya?? ”Ya Allah, binakan aku sebuah rumah di syurga.” Apa pesan Rasulullah untuk untuk Yasir dan Sumaiyyah? ”Sabarlah keluarga Yasir, bagimu syurga.” Kenangkan syurga wahai anakku.. tagihlah janji Allah itu!

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ’escapisme’. Apabila kecewa dengan manusia, orang ’lari’ kepada Tuhan, apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat, apabila terlepas kenikmatan nafsu, baru ada yang merintih syurga itu ada...
Bukan dan tidak begitu. Keyakinan terhadap Allah dan hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ateis dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ”mencipta” Tuhan demi ketenangan. Manusia tidak mencipta Tuhan demi satu ketenangan, tetapi Tuhan mencipta manusia untuk mengingatiNya kerana di situ ada ketenangan.

Lalu selalu kita diperingatkan bahawa selesaikan urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan, sesiapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya.

Kita tidak selalu benardalam pendirian dan tindakan. Kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenangtetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah.. tapi semua itu adalah ’bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Anakku,
Mari kita sama-sama berdoa, ” Ya Allah, ampunkanlah kami. Berikan kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiridan orang lain juga. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujianMu...
Ya Allah, Cuma satu...Cuma satu...janganlah Engkau serahkan diri kami kepada kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufiqMu...

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar.. walau apa jua keadaan dan cabarannya .. Amin J

Hasil karya :
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

No comments:

Post a Comment